PULAU PINANG – Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan mengadakan kunjungan rasmi ke Ibu Pejabat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) pada 14 Januari 2025.
Kunjungan ini bertujuan memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam usaha memajukan pembangunan sosioekonomi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
Ketibaan delegasi UUM disambut oleh Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan, bersama pengurusan kanan NCIA.
Dalam pertemuan ini, perbincangan tertumpu kepada peluang kolaborasi dalam bidang pembangunan modal insan, penyelidikan inovasi, dan projek pembangunan komuniti yang berimpak tinggi.
Dr Mohd Foad menegaskan komitmen UUM untuk terus memainkan peranan sebagai institusi pendidikan tinggi yang menyokong pembangunan negara, khususnya di NCER.
“Sebagai universiti pengurusan terkemuka, UUM sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan agensi seperti NCIA bagi melahirkan graduan berkualiti tinggi yang dapat memenuhi keperluan pasaran kerja dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat,” ujar beliau.
Mohamad Haris pula menyatakan penghargaan terhadap sumbangan besar UUM dalam melahirkan bakat berkemahiran tinggi untuk menyokong permintaan industri yang semakin berkembang di NCER.
“Kerjasama strategik ini akan membuka lebih banyak potensi untuk diterokai bersama terutamanya memperkasa bakat masa hadapan dan merancakkan inovasi serta teknologi baharu yang mampu memacu pertumbuhan sosioekonomi mampan di Wilayah Utara,” katanya.
Kunjungan ini juga menyaksikan perbincangan tentang inisiatif bersama dalam memperkasakan pelajar dan komuniti tempatan melalui program latihan kemahiran, keusahawanan, serta peluang penyelidikan yang dapat memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat NCER.
Dengan sinergi antara UUM dan NCIA, diharapkan usaha kolaboratif ini akan terus menyumbang kepada kejayaan pembangunan wilayah dan peningkatan kesejahteraan rakyat, sejajar dengan aspirasi negara. – MalaysiaGazette