PUTRAJAYA – The Asia International Security Summit & Expo 2025 (AISSE’25) yang bermula esok bukan sekadar sebuah acara tetapi satu inisiatif strategik yang bertujuan meletakkan Malaysia sebagai pusat inovasi keselamatan, kerjasama dan kepimpinan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, AISSE’25 menyasarkan kehadiran lebih daripada 300 syarikat dari 48 negara termasuk jenama terkemuka seperti Barzan Holdings, BlackBerry, Aetos & Dron, Systems Consultancy Services, Samsung, Elmu E, Dahua Technology and U Mobile.
Menurutnya, sidang kemuncak dan pameran itu akan menampilkan sebanyak 109 syarikat tempatan dan 212 syarikat antarabangsa yang mempamerkan teknologi terkini dalam keselamatan.
“Dengan anggaran kehadiran 5,000 pelawat perdagangan dan 1,000 peserta
seminar, AISSE’25 merupakan platform strategik yang mengumpulkan
pelbagai pihak daripada keselamatan siber, keselamatan awam, dan teknologi
pemantauan pintar.
“Tambahan pula, acara ini akan menerima 60 delegasi antarabangsa dan 500 perwakilan tempatan termasuk menteri-menteri ASEAN dan pemimpin global,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir meninjau persiapan akhir AISSE’2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Sidang kemuncak dan pameran yang bertemakan “Asia United: Charting the Future of Global Peace and Security through Law Enforcement Collaboration” akan berlangsung bermula esok selama tiga hari.
Saifuddin menambah, kedudukan Malaysia di tangga ke-10 dalam Global Peace Index (GPI) 2024 membuktikan komitmen kerajaan terhadap keamanan.
Justeru katanya, AISSE’25 bukan sahaja sejajar dengan pencapaian ini tetapi turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-16 yang memfokuskan kepada keamanan, keadilan dan institusi kukuh.
Ujarnya, tema AISSE’25 turut menyerlahkan tekad negara untuk memperkukuhkan perpaduan serantau, meningkatkan kerjasama penguatkuasaan undang-undang dan
mempromosikan strategi keselamatan yang inovatif.
“AISSE’25 akan turut memberi fokus kepada penyelesaian keselamatan dalam bidang seperti keselamatan siber, teknologi pemantauan canggih dan peralatan ketenteraan, yang bukan sahaja memperkukuhkan keselamatan tetapi juga memacu pertumbuhan ekonomi.
“Antara program utama ialah Meja Bulat Menteri dan Ucaptama Menteri Ministerial Keynote dan Fireside Chat yang menjadi landasan untuk memperkukuhkan hubungan antara pemimpin kerajaan dan sektor keselamatan global,” katanya. – MalaysiaGazette