VIDEO yang tular di laman sosial orang ramai yang seolah-olah berpesta mencari kerang di pesisir pantai di Dungun, Terengganu. - Foto: MEDIA SOSIAL

KUALA LUMPUR – Kerang di Pantai Sura, Dungun, Terengganu diklasifikasikan sebagai Kelas B dan C di bawah piawaian National Shellfish Sanitation Program (NSSP), yang memerlukan pemasakan sempurna sebelum dimakan berikutan kehadiran bakteria Vibrio parahaemolyticus, yang bersifat meluas (ubiquitous).

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu berkata, ia kerana analisis makmal menunjukkan tahap bakteria Fecal coliform dan Escherichia coli (E. coli) dalam sampel kerang melebihi piawaian yang ditetapkan masing-masing melebihi 300 MPN/100g dan 230 MPN/100g.

Menurutnya, analisis kerang di pantai itu didapati tiada kehadiran plankton yang menghasilkan biotoksin dikesan dalam sampel air dan bacaan kelima-lima sampel menunjukkan bacaan Total coliform 6,380–7,380 MPN/ 100g.

Bacaan kelima-lima sampel menunjukkan bacaan Escherichia coli antara 300–680 MPN/100g dan tiada Salmonella spp. dikesan dalam ke lima-lima sampel.

Namun, dua daripada lima sampel dikesan terdapat Vibrio parahaemolyticus tetapi tiada Vibrio cholerae dan V.vulnificus dikesan dalam ke lima-lima sampel.

“Kesimpulannya keputusan analisis kerang hanyut ke daratan 2014, 2016, 2019, 2021 dan terkini (2025), analisis makmal menunjukkan tahap bakteria Fecal coliform dan Escherichia coli (E. coli) dalam sampel kerang melebihi piawaian yang ditetapkan.

“Kehadiran bakteria Vibrio parahaemolyticus, yang bersifat meluas (ubiquitous) dalam persekitaran air laut, turut dikesan dalam sampel terdahulu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sampel air serta kerang diambil pada 15 Januari 2025 susulan fenomena kerang dihanyutkan ke pantai akibat ombak kuat telah berulang pada tahun ini.

Bagaimanapun, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu menasihatkan orang ramai untuk memastikan kerang yang dikutip dimasak sepenuhnya sebelum dimakan bagi mengurangkan risiko pencemaran bakteria.

“Pengambilan kerang mentah harus dielakkan, terutama bagi individu dengan sistem imun yang lemah. Selain itu, orang ramai disarankan sentiasa mempraktikkan langkah-langkah kebersihan semasa memproses makanan laut bagi memastikan keselamatan makanan terjamin,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here