PUTRAJAYA – Pegawai serta anggota polis perlu memastikan mempunyai indeks jisim badan (BMI) kurang daripada 28 bagi melayakkan mereka disahkan kenaikan pangkat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, BMI menjadi antara syarat itu kerana sebagai pasukan penguasa undang-undang terbesar, kercergasan dan disiplin adalah menjadi satu keutamaan polis di samping kepakaran profesional lain.
Beliau berharap syarat BMI itu akan memberi persaingan positif kepada anggota dan pegawai polis untuk mencapai pengesahan kenaikan mereka.
“Melalui pengalaman saya berinteraksi dengan mereka saya sendiri turun dan bertanya kepada mereka.
“Kadang-kadang saya naik pejabat saya di Bukit Aman dan saya tengok mereka tidak tunggu lif dengan saya.
“Mereka naik tangga dan saya tanya kenapa naik tangga dan mereka meletak harapan untuk pengesahan pangkat dan itu antara saingan yang positif saya tengok untuk cergas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir meninjau persiapan akhir Asia International Security Summit & Expo (AISSE2025) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bahawa pegawai serta anggota polis perlu memastikan mempunyai BMI kurang daripada 28 untuk melayakkan mereka dinaikkan pangkat.
Beliau berkata, BMI itu merupakan syarat tambahan ditetapkan pada masa kini dalam pemberian pemangkuan dan kenaikan pangkat.
“Pemberian pemangkuan dan kenaikan pangkat diperketatkan dengan syarat tambahan yang berkehendakkan BMI mana-mana anggota atau pegawai berada pada paras kurang dari 28.
“Inisiatif ini bagi memastikan kesihatan serta ketrampilan pegawai polis dalam melonjakkan kemampuan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan negara,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Pengurusan Bukit Aman di sini pada Khamis lalu. – MalaysiaGazette