KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) sedia menyediakan khidmat guaman secara percuma kepada orang kurang upaya (OKU) yang diserang sekumpulan lelaki di tapak pasar tani di Chukai, Kemaman, Terengganu, Jumaat lalu.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, saman sivil berjumlah RM1 juta perlu dikenakan ke atas kumpulan penyerang tersebut agar kes ini dapat dijadikan iktibar kepada orang lain.
“Saman sivil ini agar orang ramai tidak mudah mengambil tindakan di luar batas undang-undang.
“Kumpulan peguam G57 akan cuba menghubungi keluarga pakcik OKU tersebut untuk berbincang dan berharap agar mereka bersetuju memulakan proses saman tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, mangsa lelaki OKU yang menunggang motosikal dikatakan melanggar sebuah gerai jualan di pasar tani dalam kejadian jam 9.30 pagi di Chukai, Kemaman, Terengganu, Jumaat lalu.
Pelanggaran menyebabkan barangan jualan seorang peniaga tumpah dan terjatuh sebelum mangsa dipukul beberapa lelaki sehingga cedera.
Mangsa yang juga OKU ketidakupayaan mental dibawa ke Hospital Kemaman dan dirawat sebagai pesakit luar.
Zulkarnain juga berkata, rakyat Malaysia menentang keras kekejaman askar Israel yang melayan penduduk Palestin, tetapi berbeza ke atas pakcik OKU yang meminta air selepas cedera dibelasah.
“Ia bukan sahaja tidak dilayan sebaliknya ditendang jelas menggambarkan perilaku ini hampir serupa dengan kekejaman askar Israel,” katanya.
Katanya lagi, G57 juga bersedia melangsaikan kesemua kerugian peniaga yang terjejas akibat kesilapan yang dilakukan oleh pakcik tersebut.
“G57 berharap agar keluarga kepada pakcik tersebut tidak menarik laporan polis walaupun selepas ini usaha memujuk mereka dibuat.
“G57 turut senada dengan seluruh rakyat Malaysia bahawa tindakan mengheret pakcik OKU tersebut dan memukulnya jelas adalah tindakan tidak berperikemanusiaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette