GAZA CITY – Ribuan penduduk Gaza yang hilang tempat tinggal dan terpaksa berpindah-randah sejak peperangan meletus pada Oktober 2023, memulakan perjalanan pulang ke rumah masing-masing, hari ini.
Ia susulan gencatan senjata antara Israel dengan Hamas, yang ditunggu-tunggu sekian lama, kini berkuat kuasa setelah peperangan berlarutan selama lebih 15 bulan.
Menurut laporan AFP, penduduk terbabit dilihat membawa bersama khemah, pakaian serta pelbagai barangan dengan menaiki trak dan pedati keldai, selain ada yang terpaksa berjalan.
Mereka melalui kawasan Gaza yang musnah, terutama di bahagian utara wilayah Palestin itu.
Terdahulu, Israel mengumumkan perjanjian gencatan senjata dengan Hamas bermula di Gaza, pada jam 9.15 pagi Ahad waktu GMT (5.15 petang waktu Malaysia).
Ia hampir tiga jam lewat dari yang dijadualkan lebih awal, susulan penangguhan saat akhir diumumkan oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Terdahulu, Netanyahu dilaporkan berkata, gencatan senjata di Gaza tidak akan berkuat kuasa hinggalah Hamas mengemukakan senarai tebusan yang bakal dibebaskan oleh kumpulan itu.
Sebelum itu, Hamas mengumumkan pihaknya telah menyerahkan nama tiga tebusan wanita Israel yang akan dibebaskan oleh kumpulan pejuang berkenaan di Gaza.
Sementara itu, Agensi melaporkan, jurucakap Kementerian Luar Qatar mengesahkan gencatan senjata antara Israel dan Hamas telah bermula.
Seorang pegawai kanan Israel kemudian memaklumkan bahawa senarai tebusan yang akan dibebaskan itu sudah diterima oleh Israel.
Dalam pada itu, Pejabat Perdana Menteri Israel dalam satu kenyataan berkata, tiga tebusan terbabit akan dibebaskan selepas jam 2 petang Ahad waktu GMT (10 malam waktu Malaysia).
Menurutnya, empat lagi tebusan wanita masih hidup akan dibebaskan dalam tempoh tujuh hari. – AFP