KUANTAN – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang menyita sebanyak 54 tan buangan terjadual di sebuah kilang haram di Mukim Bebar, Pekan dalam operasi bersepadu semalam.
Kilang berkenaan diserbu kerana menjalankan pemprosesan buangan terjadual sisa elektronik (e-waste).
“Kilang ini disyaki melakukan pemprosesan sisa elektronikbukaedah peleburan yang telah menyebabkan pencemaran udara di kawasan sekitar, termasuk kawasan jalan utama Lebuhraya Kuantan-Segamat,” katanya dalam kenyataan di sini.
Serentak itu, JAS mengarahkan tindakan penahanan operasi kelengkapan ke atas premis tersebut bagi mencegah premis daripada terus beroperasi.
Seorang pekerja warga asing telah ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk siasatan lanjut.
Kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, yang memperuntukkan hukuman penjara mandatori tidak melebihi lima tahun dan denda maksimum sehingga RM10 juta jika sabit kesalahan.
Operasi ini turut melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan, termasuk Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Polis Diraja Malaysia, JIM, dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. – MalaysiaGazette