PADA Khamis malam Jumaat lepas saya mendengar ceramah Isra’ Mikraj yang disampaikan oleh Ustaz Zul Ramli M Razali di Masjid Menjalara, Kuala Lumpur. Biasanya ceramah-ceramah Isra’ Mikraj agak klise mengisah perjalanan baginda Rasulullah SAW dari Masjidil Haram (Mekah) ke Masjidil Aqsa (Masjidil Aqsa), Palestin dengan menaiki tunggangan yang bernama Buraq.
Mikraj pula membawa maksud perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha (langit ketujuh). Kejadian ini terjadi pada 27 Rejab. Tetapi ceramah tokoh Maulidur Rasul Negeri Pahang 2022 ini mengambil pendekatan berbeza yang berpangkal kepada kasih sayang. Uztaz Zul tidak menekan kepada kisah perjalanan Rasulullah saw tetapi mengisahkan perjalanan baginda dari dua suci Masjidil haram dan Masjid al Aqsa.
Dalam ceramahnya, beliau secara retoriknya bertanya apakah tujuan umat Islam bersolat di masjid? Baginya ramai yang menjawab untuk solat jamaah. Jawapan Ustaz Zul agak menarik kerana baginya tujuan datang ke masjid untuk berkasih sayang. Saya perhatikan ramai jemaah terpegun dengan jawapannya. Adakah kita datang sekadar mengisi kuota jamaah tetapi dengan penuh ego dan muka sombong dan tidak bertawadud dalam memberikan salam kepada jemaah lain. Di manakah kasih sayang kita, kata Ustaz Zul?
Kita hanya memberikan salam orang yang kita kenal dan tidak bersalaman dengan orang yang tidak kita kenal apa lagi melemparkan senyuman. Ustaz menyatakan dengan kasih sayang umat Islam dapat bersatu dalam berhadapan dengan regim pengganas Israel yang mencerobohi Masjid al Aqsa.
Terfikir pula saya sejauh manakah pemimpin Islam dan umatnya berkasih sayang dengan masjid al Aqsa yang sentiasa berhadapan dengan pencerobohan? Sejauh manakah kasih sayang pemimpin-pemimpin ini kepada bumi Gaza dan penduduk Palestin sehingga genosid berlaku dengan wewenangnya? Sehubungan itu dalam laporan Agensi Anadolu (AA) hampir 1,000 masjid di Gaza rosak akibat serangan Israel sepanjang tahun lalu,
Kenyataan Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin memaklumkan bahawa 815 rumah ibadat Islam musnah sepenuhnya manakala 151 lagi mengalami kerosakan separa. Di Tebing Barat yang diduduki, kementerian itu merekodkan 256 pencerobohan oleh peneroka ke Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis Timur sepanjang tahun lalu. Menurut kementerian, seramai 2,567 peneroka haram memasuki kompleks masjid itu bagi meraikan cuti perayaan Hanukkah selama seminggu, yang berlangsung dari 25 Disember hingga 2 Januari. Kementerian turut mendokumentasikan serangan Israel ke atas 20 masjid di Tebing Barat.
Sejauh manakah cinta dan kasih sayang pemimpin dan umat Islam kepada masjid sehingga membawa kepada kehancurannya oleh musuh zionis Yahudi. Di mana OIC dan organisasi Islam semasa kemusnahan berlaku? Di manakah kasih sayang mereka terhadap masjid? Masjid al-Aqsa sentiasa berada dalam keadaan ancaman kerana diceroboh oleh pengikut Zionis (fanatik kaum Yahudi). Ramai yang tidak peka tentang situasi yang sedang berlaku kini, betapa tindakan mereka bertujuan
merobohkan masjid suci itu.
Keadaan ini menunjukkan mereka mempunyai perancangan untuk membina sebuah kuil Yahudi yang dinamakan Haikal Sulaiman di tapak masjid itu. Kuil yang dipercayai oleh mereka menjadi tonggak atau simbol kepada negara. Situasi kita amat lemah bagai buih yang dikerumi musuh Islam.
Jumlah umat Islam berjumlah 2 bilion tidak dapat menyelamat penduduk Gaza dan Tebing Barat menghampiri 10 juta. Menurut data 2024 dikeluarkan Biro Perangkaan Pusat Palestin (PCBS).PCBS, anggaran penduduk Negara Palestin pada akhir 2024 ialah 5.5 juta rakyat Palestin: 3.4 juta di Tebing Barat, manakala anggaran penduduk Gaza menurun kepada 2.1 juta.
Sehubungan itu laporan PCBS menyatakan penduduk Gaza merosot sebanyak enam peratus menjelang akhir tahun 2024, akibat langsung daripada serangan kejam Israel ke atas wilayah konflik itu, menurut laporan Biro Perangkaan Pusat Palestin (PCBS). Laporan PCBS mendapati perang Israel yang berterusan menyebabkan 45,541 rakyat Palestin terkorban, kira-kira 11,000 hilang dan dipercayai berada di bawah runtuhan dan sekurang-kurangnya 100,000 terpaksa meninggalkan Gaza ketika kempen pemusnahan Israel terus memusnahkan wilayah itu. Di Tebing Barat, serangan rejim Israel membunuh 835 rakyat Palestin dan mencederakan 6,450 yang lain.
Malangnya, pada akhir-akhir ini hanya tinggal segelintir sahaja pemimpin negara Islam yang berani membuat kenyataan yang tegas dengan mengajak umat Islam bersatu dan bersedia menentang Zionis yang zalim itu. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah antara pemimpin yang lantang bersuara membela bumi Gaza daripada dijajahi, dicerobohi dan perlakuan genosid regim pengganas Israel. Namun, kalangan rakyat umat Islam di seluruh pelosok dunia hari ini sudah mula menunjukkan semangat yang tinggi berkobar-kobar.
Hal ini menandakan adanya kemanisan iman dalam diri mereka dan sifat persaudaraan Islam yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya: “Bandingan hubungan persaudaraan dalam kalangan orang-orang yang beriman berkait dengan hal saling mencintai, mengasihi, dan menyayangi sesama mereka laksana hubungan anggota dalam satu jasad. Apabila satu anggotanya mengadu kesakitan, maka seluruh jasad merasa sakit sehingga berjaga dan demam”. (Riwayat Muslim 2586)
Kelemahan kebanyakan pemimpin Islam dan negara Islam yang kini berada di bawah genggaman Barat dan Yahudi Zionis menyebabkan mereka kehilangan rasa kasih sayang kepada Masjid al Aqsa yang dicerobohi peneroka haram dan masjid-masjid di Gaza dan Tebing Barat yang dimusnah dan dihancurkan oleh pengeboman jahat zionis.
Mereka lebih berkasih sayang kepada kuasa, politik, harta dan kekayaan dunia daripada kasih sayang kepada masjid dan umat Islam di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis. Dengan berita yang tidak diterima, kita bersyukur dengan gencatan senjata yang dicapai. Persoalannya sejauhmanakah gencatan senjata ini patuhi Israel dan AS?
Rundingan pada Rabu lepas menghasilkan perjanjian berfasa untuk menamatkan konflik selama 15 bulan di Gaza antara Israel dan Hamas. Namun ada udang di sebalik batu, Presiden dilantik, Donald Trump menyatakan beliau akan menggunakan momentum perjanjian gencatan senjata Gaza untuk meluaskan Perjanjian Abraham.
Katanya, perjanjian itu telah menormalkan hubungan Israel dengan beberapa negara Arab semasa penggal pertamanya. Trump menegaskan bahawa beliau akan membina momentum ini untuk memperluaskan Perjanjian Abraham, yang menormalkan hubungan Israel dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Maghribi dan Sudan.
Perjanjian tersebut merangkumi pembebasan tebusan secara beransur-ansur oleh Hamas, yang diculik dalam serangan 7 Oktober 2023, sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin di penjara Israel.
Trump menyatakan kegembiraan bahawa tebusan Amerika dan Israel akan dibebaskan serta pulang ke rumah mereka dengan selamat. Beliau mengarahkan pasukan keselamatan negara Amerika Syarikat, melalui utusan khas Steve Witkoff, untuk memastikan Gaza tidak lagi menjadi tempat perlindungan pengganas.
Adakah dengan perjanjian gencatan senjata Hamas harus meletak senjata meninggalkan perjuangan memerdaka Palsetin sekiranya segala syarat-syarat tiga fasa itu dipatuhi? Agak hairan juga Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang selama berbulan-bulan sengaja mengagalkan rundingan gencantan senjata sehingga membawa kepada pembunuhan As-Syahid Ismail Haniyeh tetiba akur kepada syarat-syarat Hamas itu?
Selama berbulan-bulan, Perdana Menteri regim genosid, Benjamin Neyanyahu sengaja mengagalkan rundingan yang sedang berlangsung dan menjadi penghalang kepada gencatan senjata. Dengan merujuk kepada tek perjanjian secara sepintas lalu di Al Jazeera, perjanjian ini termasuk gencatan senjata sementara yang diharap akan menghentikan permusnahan ke atas Gaza dan pembebasan tawanan di mana Hamas bersetuju membebaskan 33 tawanan dengan pertukaran ratusan tahanan
Palestin yang ditempatkan di penjara Israel.
Adalah difahamkan, perjanjian ini akan membolehken penduduk Palestin kembali ke utara Gaza dan laluan kepada penghantaran makanan dan bantuan kemanusiaan akan dibuka ke kawasan itu. Perjanjian ini akan melalui tiga fasa untuk menjayakannya dan jika semua berjalan lancar dan Israel berjanji untuk memenuhinya, ia adalah suatu kejayaan bagi Hamas dan kegagalan bagi Netanyahu.
Ia memenuhi hampir ke semua tuntutan Hamas sebelum ini dan bagi saya semacam tiada tuntutan Netanyahu dipenuhi. Seolah-olah ia dicapai dengan mudah selepas Netanyahu menjadi batu penghalang kepada semua proses rundingan gencatan sebelum kecuali yang pertama dahulu. Namun Israel telah menangguhkan kelulusan perjanjian dengan kumpulan pejuang Hamas bagi gencatan senjata di Semenanjung Gaza serta pembebasan tebusan.
Bagaimanapun, Amerika Syarikat (AS) menyatakan keyakinan perjanjian itu masih akan dikuatkuasakan pada Ahad seperti yang dirancang. Dengan perasaan kasih sayang kepada masjid, penduduk Palestin di Gaza dan Tebing Barat, apakah yang dapat dilakukan pemimpin dan umat Islam supaya siAlgojo Netanyahu, Trump dan regim genosid tidak mungkir janji, khianat perjanjin gencatan senjata lakukan menghalang ia daripada berlaku.
Anwar yang menyambut baik pengumuman perjanjian gencatan senjata berkata masyarakat antarabangsa perlu memastikan gencatan senjata itu dipertahankan
bagi membuka jalan untuk perbincangan mengenai fasa seterusnya yang akan membawa kepada keamanan mampan dan pembinaan semula Gaza.
Berbalik kepada kasih sayang kepada masjid, di akhir ceramah, Ustaz Zul memanggil jemaah ke depan, diminta berdiri dekat-dekat sambil berselawat Nabi SAW dan meminta kami memberikan senyuman penuh tawaduk kepada orang berdiri di sebelah kami.
Ismail Hashim Yahaya
Pemerhati geopoliitk dan perhubungan antarabangsa.