PUTRAJAYA – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain akan bertemu dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi menerangkan lebih lanjut isu tindakan pemeriksaan telefon bimbit oleh polis.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Razarudin diminta berbuat demikian agar Suhakam dapat mengetahui bidang skop tugasan yang dibenarkan oleh polis untuk membuat pemeriksaan tersebut.
“Jadi saya kata biarlah adil asalkan ia menangani isu itu dari sudut pandangan pihak berkuasa dan melindungi masyarakat.
“Jika berlaku pelanggaran jadi saya kata cara terbaik untuk melakukannya adalah dengan meminta Ketua Polis duduk dan menjelaskan kepada Suhakam dan saya yakin ia dapat membantu mendidik masyarakat.
“Kita tangani isu ini dan Suhakam juga akan faham dalam konteks tugasan polis,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir meninjau persiapan akhir Asia International Security Summit & Expo (AISSE2025) di PICC.
Semalam Suhakam dalam kenyataannya menegaskan pihak polis tidak boleh sewenang-wenangnya memeriksa telefon bimbit seseorang ketika sekatan jalan raya kerana ia dianggap melanggar hak asasi manusia.
Justeru, Suhakam meminta supaya orang awam untuk cakna dengan hak asasi manusia terutamanya ketika diberhentikan, disoal siasat mahupun ditahan oleh pihak polis.
“Orang ramai diingatkan bahawa jika peranti mereka diperiksa sewenang-wenangnya tanpa alasan munasabah, mereka perlu mencatatkan tempat kejadian, nama serta nombor pengenalan pada pakaian seragam polis sebelum membuat aduan kepada Suhakam.
Razarudin sebelum ini menegaskan polis mempunyai kuasa untuk memeriksa telefon bimbit seseorang berdasarkan syak wasangka yang munasabah.
Beliau memetik Seksyen 23(1) dan 116B Kanun Tatacara Jenayah, serta peruntukan daripada Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 serta Akta Polis. – MalaysiaGazette