KUALA LUMPUR – Lima sekeluarga yang dilaporkan hilang sejak semalam dilaporkan berada dalam keadaan selamat.
Perkembangan terbaharu itu dimaklumkan adik kepada kepada wanita berumur 37 tahun yang didakwa hilang bersama suami dan tiga kanak-kanak, iaitu dua lelaki dan seorang perempuan.
Maklumat tersebut dikongsi di laman Instagram sebentar tadi.
Bagaimanapun menurut adik wanita tersebut yang menggunakan akaun hudaamirhamzah, lokasi sebenar lima sekeluarga itu masih tidak diketahui.
Katanya, pihak polis masih berusaha menjejaki keluarga berkenaan.
Hantaran di IG Story hudaamirhamzah: “UPDATE Assalamualaikum kami menerima video pendek daripada Anis & suami. Mengatakan mereka semua selamat. Alhamdulilla. Tapi dalam video tersebut tidak menyatakan lokasi mereka. Jadi laporan polis tetap dijalankan & pihak polis masih mencuba trace lokasi mereka melalui nombor telefon. Kami menunggu update dari polis.”
Terdahulu media melaporkan polis giat menjalankan usaha mengesan lima sekeluarga, iaitu pasangan suami isteri dan tiga anak mereka yang dilaporkan hilang sejak semalam.
Artikel berkaitan: https://mgperak.com/polis-kesan-lima-sekeluarga-hilang/
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman menerusi kenyataan hari ini berkata laporan kehilangan keluarga itu dibuat hari ini oleh adik kepada wanita berumur 37 tahun yang didakwa hilang bersama suami dan tiga kanak-kanak, iaitu dua lelaki dan seorang perempuan.
Menurut laporan, kesemua mereka telah keluar dari sebuah rumah di Persiaran Rimba Permai, Sepang dengan menaiki kenderaan jenis Perodua Alza WWT 8248 berwarna kelabu pada 11.30 malam, 17 Jan lepas. – MalaysiaGazette