Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan (tiga kanan) bersama barisan Menteri Luar negeri ASEAN pada Pemukiman Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN (AMM Retreat) di Langkawi, Kedah. Foto FAREEZ FADZIL, 19 JANUARI 2025.

LANGKAWI- Menteri-Menteri Luar ASEAN menyambut baik kemajuan yang dicapai dalam rundingan Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan sambil menekankan kepentingan mengekalkan momentum untuk mempercepatkan proses itu.

Para menteri menekankan keperluan untuk memuktamadkan COC yang berkesan dan substantif secepat mungkin, sejajar dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.

“Kami menegaskan bahawa Laut China Selatan mesti kekal aman dan stabil,” kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, dalam sidang media selepas berakhirnya Permukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) di sini pada Ahad.

Ketika ditanya sama ada COC boleh diterima pakai sebelum tamatnya kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, Mohamad menjelaskan: “Kami sedang dalam proses rundingan berkaitan COC.

“Kami akan berusaha sedaya upaya memastikan rundingan berjalan mengikut jadual.”

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan bercakap pada sidang media selepas Pemukiman Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN (AMM Retreat) di Langkawi, Kedah. Foto FAREEZ FADZIL, 19 JANUARI 2025.

Beliau turut mengulas mengenai usaha menangani jenayah rentas sempadan khususnya penipuan dalam talian, dengan menyatakan bahawa China akan bekerjasama rapat dengan ASEAN dalam menangani isu ini.

“Kami akan bekerjasama rapat dengan China,” katanya.

Mengenai panggilan telefon antara Presiden terpilih Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping pada Jumaat, Mohamad menyifatkannya sebagai “perkembangan positif untuk mereka berbincang.”

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Trump atas pelantikannya dan berharap kepimpinannya akan membawa kestabilan dan keamanan dunia.

Sementara itu, Mohamad berkata bahawa menteri-menteri luar ASEAN menyuarakan kebimbangan terhadap persaingan kuasa besar di rantau ini yang berpotensi meningkatkan ketegangan dan memberi kesan kepada kestabilan serantau.

“ASEAN bersetuju bahawa adalah penting untuk melindungi kepentingan rantau ini secara kolektif dan memperkukuhkan pemusatan, perpaduan serta solidariti ASEAN.

“ASEAN juga mesti terus kekal menerajui kerangka rantau ini, menentukan arah dan masa depan komuniti serantau kita,” kata Mohamad.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here