Tengku Razaleigh Hamzah

KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Gua Musang berpendirian, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menterinya boleh disabitkan dengan kesalahan mengelirukan dan membohongi anggota Dewan Rakyat kerana tidak mendedahkan titah adendum.

Ketuanya, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, mereka yang turut terlibat menyembunyikan titah berkenaan juga wajar dikenakan tindakan ke atas kesalahan menyembunyikan fakta dan dokumen penting kerajaan dan juga dengan segaja menghalang keadilan.

Ujar beliau, Perdana Menteri sebelum ini jelas menafikan kewujudan titah berkenaan dalam dewan mahupun di luar dengan menyatakan ia bersifat ‘dengar cakap’ atau hearsay.

Menurut veteran UMNO itu, Kerajaan Madani pimpinan Anwar sengaja menyembunyikan titah adendum dan mengkhianati prinsip berterus-terang (Candor Principle) yang sepatutnya dijunjung kerajaan.

“Sebagai Perdana Menteri, beliau jelas terikat dengan ikrar sumpah taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) serta Perlembagaan Persekutuan.

“Sebarang keingkaran, menyembunyi atau menafikan titah YDPA merupakan suatu penderhakaan besar kepada Raja dan Negara,” kata beliau yang kenali sebagfai Ku Li melalui hantaran Facebooknya hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Gua Musang itu turut menyatakan, tindakan Anwar yang tidak konsisten dengan jawapan-jawapan sebelum ini jelas menampakkan wujudnya kelemahan ketara selaku Perdana Menteri.

Beliau berpendapat, tidak wajar dan tidak mungkin bagi seorang Perdana Menteri tidak tahu secara jelas kewujudan titah berkenaan.

 

“Perdana Menteri perlu bertanggungjawab sepenuhnya di atas segala kemelut yang berlaku. Walaupun UMNO berada di dalam kerajaan bersama pada hari ini, namun UMNO tetap teguh berpegang kepada prinsip dan perlembagaan negara serta perlembagaan parti.

“UMNO Bahagian Gua Musang tidak pernah sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang jelas membelakangi atau melanggar perlembagaan dan undang-undang negara,” ujarnya.

Beliau turut berkata, Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO menyatakan dengan jelas bahawa asas dan tujuan parti adalah mendukung asas-asas Perlembagaan Persekutuan.

“Selagi mana ia membela kepentingan Raja-Raja Melayu, Bangsa Melayu, Bumiputera, Orang Asli, Anak Negeri Sabah serta lain-lain perkara sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan, Prinsip Kontrak Sosial dan Undang-Undang Tubuh Negeri Malaysia.

“Dalam erti kata lain, UMNO Bahagian Gua Musang dengan secara jelas menyatakan taat setia tanpa berbelah bagi dengan titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 supaya Datuk Seri Najib Razak menjalani hukuman pemenjaraan menerusi tahanan dalam rumah (House Arrest) melalui titah adendum bertarikh 29 Januari 2024,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here