LONDON – Kelab Serie A, Napoli dilaporkan masih belum berputus asa untuk mendapatkan pemain muda Manchester United, Alejandro Garnacho selepas bidaan mereka telah ditolak oleh pengurusan tertinggi kelab itu.
Laporan Tuttosport mendedahkan Napoli telah membuat bidaan kedua untuk pemain sayap itu kerana serius untuk mendapatkan khidmat pemain antarabangsa Argentina itu.
“Mereka telah menyerahkan bidaan kedua mereka kepada United untuk pemain sayap itu selepas bidaan pertama mereka sebanyak €45 juta telah ditolak mentah-mentah oleh United.
“Meskipun tawaran pertama ditolak oleh United pihak Napoli dilaporkan tidak begitu mudah berputus asa kerana ketika ini mereka telah menyerahkan tawaran kedua kepada pengurusan kelab.
“Dalam tawaran kedua ini, Napoli meningkatkan nilai tawaran mereka. Kali ini, mereka telah membuat tawaran bernilai €55 juta untuk khidmat pemain sayap itu,” kata laporan itu.
Napoli turut berharap bahawa pengurusan United akan berlembut supaya mereka boleh membawa masuk Garnacho secepat mungkin.
Sementara itu, beberapa laporan di England mengatakan bahawa tawaran kedua Napoli berkemungkinan besar ditolak oleh kelab kerana United dilaporkan hanya akan menerima tawaran sekitar €70 juta ke atas untuk khidmat pemain sayap itu.
Musim lalu, Garnacho memeterai perjanjian jangka masa panjang yang baru bersama United.
Pemain sayap berusia 19 tahun itumenandatangi kontrak baharu yang akan mengekalkannya di kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan hingga Jun 2028. – Agensi