GOMBAK – Pasukan Debat Bahasa Inggeris, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengharumkan nama negara apabila mencatatkan kejayaan luar biasa di Kejohanan Debat Universiti Dunia (WUDC) 2025 yang berlangsung di Panama, Amerika Tengah, baru-baru ini.
Pasukan debat UIAM yang diwakili oleh Anas Ahmad Zaharim, pelajar jurusan undang-udang (AIKOL) dan Nor Atifa Wan Saifulruddin, pelajar dari Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan AbdulHamid AbuSulayman (AHAS KIRKHS) berjaya melangkah ke pusingan menang mara selepas berjaya dalam kelompok 48 pasukan terbaik dalam Kategori Terbuka.
Lebih membanggakan, UIAM merupakan satu-satunya universiti dari Asia Tenggara yang berjaya mara ke tahap ini.
Kejayaan ini mengangkat UIAM sebagai satu-satunya universiti dari Asia Tenggara yang berjaya melayakkan diri dalam kategori terbuka, sebaris dengan pasukan dari negara Jepun dalam kategori yang sama.
Dalam kejohanan yang menyaksikan penyertaan lebih 220 pasukan dari seluruh dunia, UIAM turut berjaya mengatasi kedudukan beberapa institusi ternama seperti Oxford, Harvard, Yale, Stanford, dan University of California Los Angeles.
Rektor UIAM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar bangga atas pencapaian pasukan debatnya kerana mereka bersaing dengan pasukan-pasukan dari universiti tersohor dunia seperti Oxford, Cambridge, Harvard, Yale amatlah membanggakan UIAM sebagai sebuah universiti Islam.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu dalam persediaan pasukan ini. Sebagai rektor, saya akan memastikan UIAM terus menyediakan sumber dan insentif untuk menggalakkan lagi pendekatan seperti ini. Seperti yang kita tahu, UIAM dan debat dunia sememangnya telah lama menyerlah kejayaan di peringkat global.”Katanya.
Dengan kejayaan ini, Rektor UIAM turut memberikan insentif sebanyak RM500 seorang kepada kedua pendebat UIAM yang menyertai WUDC untuk terus membuktikan kecemerlangan dalam bidang debat di peringkat global.
Pasukan debat UIAM bukan sahaja menjadi kebanggaan universiti, tetapi juga negara dan rantau Asia Tenggara.
Sementara itu, Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti) UIAM, Prof. Datuk Dr. Mohamad Fauzan Noordin berkata, persediaan untuk kejohanan bertaraf dunia seperti WUDC tidak dilakukan dalam sekelip mata.
“Pasukan pendebat UIAM menjalani latihan intensif dua hingga tiga kali seminggu sepanjang semester, dengan sesi latihan tambahan diadakan pada hujung minggu. Para alumni debat dan jurulatih juga memainkan peranan besar dalam membantu pasukan ini membuat persediaan, bagi pihak pembangunan pelajar kami akan terus memberikan galakkan dan ransangan kepada para pelajar yang ingin menjadi pendebat,” ujarnya.
Berkongsi pengalaman dalam menyertai pertandingan tersebut, Anas Ahmad Zaharim menceritakan cabaran yang dilalui oleh pendebat yang mana format pertandingan yang mempunyai peraturan yang sangat memcabar.
“Format pertandingan yang mencabar, di mana setiap usul hanya diberikan 15 minit kepada pendebat sebelum sesi bermula dan dengan pengalaman yang ada ia tidak menjadi halangan kepada para pasukan UIAM untuk membuktikan kehebatan kami,” katanya. – MalaysiaGazette