KUALA LUMPUR – Sudah sampai masanya Persatuan Pencegahan Dadah Malaysia (Pemadam) diberi imej dan nafas baharu, seiring dengan reformasi institusi yang dilakukan kerajaan dalam memerangi najis dadah.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, halatuju, fungsi serta peranan Pemadam perlu dinilai semula, selaras dengan perubahan zaman dan cabaran masa ini.
“Usia Pemadam sudah menjangkau lebih 49 tahun sejak penubuhannya pada 22 Mac 1976.
“Saya akan menyusun semula Pemadam di peringkat Kebangsaan, mengadakan perbincangan di peringkat negeri serta mengemaskini semula di daerah-daerah.
“Ia bagi memastikan Pemadam benar-benar berfungsi dan berperanan dalam persekitaran yang telah begitu berbeza dan berubah.
“Pemadam mesti diberikan nafas baru dengan membawa pendekatan serta strategi baharu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Shamsul berkata, usaha itu boleh dilakukan bermula dengan menggandingkan kepimpinan sedia ada dengan tokoh berpengalaman, profesional dan generasi baharu.
“Saya tidak mahu melihat apa masalah Pemadam sebelum ini.
“Namun saya akan memberi tumpuan kepada memperkukuh serta menjadikan Pemadam sebagai organisasi penting kepada negara, rakyat dan pastinya kumpulan sasar utama,” katanya.
Tambahnya, beliau tidak dinafikan masalah besar Pemadam ialah isu kewangan ketika ini.
“Perubahan perlu dibuat dalam pelbagai aspek agar Pemadam akan dilihat penting kewujudannnya.
“Bantuan dana kerajaan akan disalurkan apabila Pemadam dilihat kembali menjadi sebuah organisasi berpengaruh, penting serta diperlukan oleh kerajaan.
“Lebih penting usaha itu senada dengan usaha bersama membasmi isu dadah di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette