KOTA BHARU – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas 100 bungkus pakaian terpakai seberat 20 tan dianggar bernilai RM1 juta yang cuba diseludup ke Thailand melalui pangkalan haram Ular di Pengkalan Kubor, Tumpat, semalam.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, kegiatan itu dikesan oleh empat anggota PGA ketika membuat rondaan berkereta di kawasan itu, apabila mereka ternampak beberapa lelaki sedang memunggah guni putih dari sebuah lori ke dalam sebuah bot, dalam keadaan mencurigakan.
“Menyedari kehadiran pihak berkuasa, kumpulan lelaki itu terus terjun ke sungai dan berenang ke arah negara jiran, namun seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun, yang merupakan pemandu lori, berjaya ditahan ketika berada di tempat duduk pemandu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, pakaian yang diperoleh dari Johor Bahru itu dirancang untuk dihantar ke Wilayah Pattani, Thailand, dan pemandu lori pula mengaku menerima upah RM500 untuk menghantar pakaian itu ke pangkalan haram berkenaan dipercayai sebelum diseludup ke seberang menggunakan bot.
“Selain pakaian, PGA turut merampas sebuah lori jenis Isuzu bernilai RM150,000 dan sebuah bot kargo bernilai RM150,000, menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM1.3 juta,” katanya.
Nik Ros Azhan berkata, kes ini akan dirujuk kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – Bernama