SHAH ALAM – Pasangan suami isteri yang terlibat dalam kes penipuan umrah membabitkan kerugian RM2.1 juta akan ditahan semula polis Johor selepas tempoh tahanan reman mereka sejak Jumaat lalu, tamat hari ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, enam individu lain yang turut ditahan reman selama tiga hari itu pula akan diberi jaminan polis.
“Hari ini dua daripada mereka, iaitu suami isteri itu diserah kepada Kontinjen Polis Johor, manakala enam lagi akan diberi jamin.
“Pasangan suami isteri itu, buat masa ini akan diambil alih atau ditangkap oleh polis Johor untuk siasatan kes mereka,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.
Jumaat lalu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kontinjen Selangor menjalankan pemeriksaan di pejabat syarikat pelancongan berkenaan di Sepang, Selangor.
Pada petang hari sama, pengarah urusan syarikat terbabit melakukan sidang media di ibu negara sebelum keadaan bertukar kecoh apabila lelaki berkenaan ditahan bagi membantu siasatan susulan kegagalan syarikat itu menerbangkan lebih 300 jemaah umrah ke Tanah Suci.
Menurut Hussein, setakat ini pihaknya menerima 42 laporan polis berkaitan kes penipuan umrah itu, dengan 28 aduan terima daripada individu atau keluarga mangsa.
“Di Selangor sahaja, ada 17 laporan polis (kes penipuan Umrah) daripada ejen-ejen mereka dan satu daripada pihak MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya).
“Hasil siasatan kita mendapati mereka juga menggunakan ejen-ejen, kes itu melibatkan negeri-negeri lain seperti Kuala Lumpur, Johor dan lain-lain,” katanya.
Selain itu, kata Hussein, hasil siasatan awal pihaknya mendapati, terdapat unsur-unsur penipuan dalam kes itu dari segi proses permohonan visa, tempahan penerbangan dan penginapan di Arab Saudi dan sebagainya.
“Semua itu (proses) tidak dibuat dengan betul. Mereka tidak melalui proses betul yang selalu orang buat dalam pengurusan umrah.
“Dari situ kita nampak ada unsur penipuan dan kita perlu lengkapkan kertas siasatan ini untuk tujuan pertuduhan.
Beliau menyeru orang ramai yang mahu mengerjakan ibadat umrah agar lebih berhati-hati dan meneliti dahulu tawaran perkhidmatan itu bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.
“Ejen-ejen ini mestilah ejen yang kredibel (boleh dipercayai), diiktiraf atau ada rekod dengan MOTAC dan pihak pengurusan Haji (TH),” katanya.
Dalam pada itu, Hussein juga mengesahkan pasangan suami isteri itu mempunyai rekod lampau melibatkan kes penipuan pelaburan perniagaan perkhidmatan umrah di Johor.
“Pasangan suami isteri ini memang ada satu lagi laporan polis penipuan di Johor sebelum ini pada tahun lepas, dan itu pun masih lagi dalam siasatan.
“Kes itu juga ada kaitan dengan umrah tapi modus operandi dia berbeza sedikit, dia menipu orang yang melabur dalam industri ini. Kes ini masih dalam siasatan, bukan hanya melibatkan Selangor sahaja, bahkan beberapa negeri lain.
“Kita akan lengkapkan dalam masa terdekat, kalau dapat arahan kita akan tuduh mereka dalam masa terdekat,” katanya.
Ditanya mengenai pembabitan selebriti tempatan dalam kes penipuan itu, beliau bagaimanapun hanya berkata, perkara itu masih dalam siasatan polis.
“Dalam siasatan lagi, saya tak boleh komen ada selebriti atau tidak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette