KUALA LUMPUR – Datuk Abdul Hakim Hamidi mengingatkan abangnya iaitu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya tidak menjadi ‘singa sarkas DAP’.
Ingatan itu dibuat Abdul Hakim susulan kenyataan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri supaya isu penjualan sandwic berlabel ‘Ham and Cheese’ tidak diperbesar-besarkan.
“Kerajaan UMNO harus sedar kamu itu orang Melayu Islam ke atau pun penunggang DAP? Jangan jadikan diri kau sebagai harimau sarkas atau singa sarkas dalam DAP.
“Kita harus sedar orang Melayu sekarang sudah tidak boleh tahan dengan keadaan yang ada pada hari ini di mana kerajaan banyak yang mungkar. Ingat sikit Allah akan membalas jika kita tidak jujur dengan rakyat dan diri sendiri,” kata Abdul Hakim dalam satu perkongsian video di TikTok.
Abdul Hakim yang keluar UMNO menjadi ahli Pas Oktober lalu berkata, Ahmad Zahid seharusnya lebih mengetahui isu halal membabitkan makanan orang Islam.
Ahmad Zahid sebelum ini menggesa supaya isu penjualan sandwic berlabel ‘Ham and Cheese’ yang diragui status halalnya di Universiti Malaya tidak diperbesarkan, memandangkan tindakan proaktif sudah diambil untuk menarik balik produk berkenaan.
Katanya, tindakan universiti menutup serta-merta dua premis jualan runcit di kampus itu adalah satu tindakan segera.
Justeru segala tindakan seterusnya perlu diserahkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Saya yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Halal yang menjalin kerjasama dengan Jakim sudah melakukan beberapa saranan supaya perkara yang menyentuh soal agama ini harus dielakkan,” kata Ahmad Zahid.
Sebelum ini, Universiti Malaya memaklumkan arahan penutupan membabitkan dua premis jualan runcit 24 jam serta-merta dikeluarkan bagi memberi ruang supaya siasatan yang dilaksanakan untuk mengesahkan dakwaan itu tidak terganggu.
Sementara itu, Jakim mengesahkan produk ‘Ham and Cheese’ yang dijual di universiti awam di Kuala Lumpur itu tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), dan syarikat yang menghasilkan produk itu juga bukan pemegang SPHM.- MalaysiaGazette