KLUANG – Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam berjaya merampas barangan seludup berjumlah lebih RM23 juta dalam Ops Taring Nyah 1 Johor dan Selangor pada tahun lalu.
Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, pihaknya juga menahan seramai 262 suspek di sepanjang operasi tersebut.
Menurut beliau, Ops Taring Nyah 1 dijalankan sepanjang pantai barat semenanjung bermula dari Selangor hingga ke Johor.
Fokus utama penugasan adalah bagi mengawal persisiran pantai daripada ancaman penyeludupan, pendatang asing tanpa izin (PATI), kontraban dan jenayah rentas sempadan.
“Beberapa tangkapan dan rampasan berjaya dilakukan sepanjang tahun lalu dan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengekang jenayah terancang, penyeludupan dan aktiviti haram yang meresahkan masyarakat.
“Seramai 262 saspek telah ditahan dengan pecahan jantina iaitu lelaki dewasa seramai 240 orang manakala wanita dewasa 22 orang atas pelbagai kesalahan dan 80 kes penyeludupan dengan nilai rampasan keseluruhan RM23,344,561,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Katanya, kejayaan terbesar dalam operasi itu adalah tangkapan dan rampasan di Bukit Pelandok, Negeri Sembilan yang melibatkan rokok seludup dengan keseluruhan nilai rampasan RM2,559,500.
Ujarnya, satu lagi kejayaan besar yang juga melibatkan Akta Kastam 1967 adalah di Setia Indah, Johor Bahru dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan RM1,657,716.
“Untuk sepanjang bulan Januari tahun ini sahaja sudah ada tiga tangkapan dan rampasan melibatkan Akta Atipsom 2007 dan Akta 582 Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 masing-masing bernilai RM16,019 dan RM1,017,560.
“Justeru, saya menyeru orang ramai untuk terus memberi kerjasama dengan pihak berkuasa dan tampil menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah penyeludupan,” katanya.- MalaysiaGazette