Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan saman oleh SRC International Sdn Bhd serta dua anak syarikatnya terhadap UMNO dan UMNO Selangor melibatkan RM19.5 juta yang didakwa diterima secara salah bermula hari ini selepas kedua-dua pihak gagal mencapai penyelesaian sejak 2021.

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan sudah memberikan masa kepada pihak terlibat termasuk SRC dan dua anak syarikatnya iaitu Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Jendela Pinggiran Sdn Bhd (JPSB) untuk berunding.

Hari ini, peguam mewakili SRC, Razlan Hadri Zulkifli berkata, pihaknya akan mengemukan bukti terutamanya peranan bekas Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang memegang beberapa peranan dengan konflik kepentingan.

Antaranya dakwa peguam itu, Najib yang pernah memiliki saham tunggal SRC ketika menjadi Menteri Kewangan turut memegang jawatan Penasihat Emiratus untuk SRC dan anak syarikatnya yang didakwa ditubuhkan untuk tujuan melaksanakan pelbagai aktiviti sosial korporat (CSR).

Pada masa sama, Najib menjawat jawatan Presiden UMNO dan telah menyalurkan dana melalui SRC kepada UMNO dan UMNO Selangor dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM19.5 juta.

Razlan mendakwa, dana itu adalah sebahagian daripada RM43.96 juta yang dipindahkan SRC kepada Gandingan Mentari sebelum disalurkan kepada JPSB tanpa kelulusan lembaga pengarah SRC.

“Untuk makluman, dana ini berada di bawah kawalan Najib antara April hingga Julai 2015. JPSB adalah satu syarikat yang tidak aktif sebaliknya hanya alat untuk salurkan dana-dana SRC kepada pelbagai pihak oleh Najib keperluan.

“JPSB, UMNO dan UMNO Selangor tidak ada apa-apa urusan perniagaan. Ini sama juga dengan SRC dan Gandingan Menteri,” katanya dalam kenyataan pembukaan pada prosiding hari ini.

Beliau berkata, walaupun mengakui kemungkinan UMNO dan UMNO Selangor tidak sedar tentang sumber dana pada masa itu namun adalah tidak adil untuk terus menyimpan dana milik SRC dan anak syarikatnya pada masa ini.

Katanya, dana RM43.96 juta yang diterima JPSB adalah sebahagian daripada RM4 bilion pinjaman yang diberikan oleh Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) kepada SRC antara 2011 hingga 2012.

UMNO diwakili Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman, manakala Datuk Hasnal Rezua Merican mewakili UMNO Selangor.

SRC serta dua anak syarikatnya memfailkan saman berasingan terhadap UMNO dan UMNO Selangor pada Mei 2021.

Dalam saman terhadap UMNO, plaintif menuntut RM16 juta yang didakwa dipindahkan secara salah kepada parti politik itu dan mendakwa UMNO tidak mempunyai asas untuk menerima dana berkenaan.

Saman kedua pula melibatkan tuntutan RM3.5 juta terhadap UMNO Selangor yang didakwa diterima secara salah.

Perbicaraan bersambung esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here