Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berucap pada Majlis Hi-Tea Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 20 JANUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) perlu memainkan peranan menjelaskan kepada golongan veteran atau masyarakat akan keistimewaan dan kelebihan ekosistem persaraan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ekosistem persaraan veteran ATM adalah antara yang paling unik, istimewa dan mempunyai kelebihan tersendiri berbanding mana-mana ekosistem persaraan perkhidmatan lain.

Ini kerana terdapat banyak sekali imbuhan, elaun, ganjaran serta sokongan yang disediakan bagi membantu para veteran dan ahli keluarga.

Suasana Majlis Hi-Tea Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 20 JANUARI 2025.

“Sokongan pendidikan anak-anak, perkhidmatan perubatan dan rawatan percuma dan sudah pastilah persaraan dan pemberian pencen pada usia yang masih muda.

“Malah, pelbagai intervensi lain kita susun dan lakukan. Yang tidak mempunyai rumah, kita bantu binakan rumah, yang rumahnya uzur, kita bantu baiki.

“Jadi saya sangat berterima kasih kepada pihak SPNB yang telah bersama-sama kita dalam ikhtiar ini. Kesemua ini adalah untuk memastikan alam persaraan veteran ATM adalah istimewa dan terbela,” katanya ketika berucap pada Majlis Hi-Tea JHEV Bersama Veteran Tentera di sini, hari ini.

Suasana Majlis Hi-Tea Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 20 JANUARI 2025.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, bertitik tolak daripada kesungguhan itu jugalah, kementerian kini mengambil pelbagai lagi inisiatif untuk memastikan bukan sahaja ekosistem dan bantuan persaraan diberikan perhatian.

Malah, katanya, persediaan enuju persaraan turut diperkukuh dan diperkemaskan.

“Ini adalah objektif utama mengapa kita mengusahakan secara serius program Work-Based Learning (WBL) semata-mata ingin memastikan anggota ATM yang memasuki fasa veteran dilengkapi dengan kelayakan dan persediaan yang mencukupi untuk menyertai alam kerjaya kedua,” ujarnya.

Mohamed Khaled berkata, perkara kedua yang JHEV perlu berikan fokus adalah memastikan konsep dan pemahaman persaraan dalam konteks perkhidmatan ATM mesti difahami dengan jelas oleh semua pihak.

Kata beliau, konteks perkhidmatan ATM, persaraan dan pencen tidak bermakna yang veteran ATM adalah mereka yang akan berhenti bekerja sepenuhnya dan hanya bergantung kepada pencen bulanan.

Sebaliknya, ia adalah peralihan kepada kerjaya kedua dan permulaan hidup baharu dalam masyarakat awam.

“Majoriti veteran atau pesara ATM adalah mereka yang masih muda, masih berkeupayaan dan mempunyai potensi besar untuk menyertai tenaga kerja di pelbagai bidang di seluruh negara.

“Jadi, saya harap JHEV jelas akan perkara ini dan bersama-sama membantu menyemai pemahaman serta pemikiran sedemikian dalam kalangan semua pihak,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here