PUTRAJAYA – “Jangan ganggu siasatan, jangan beri tekanan dan buat spekulasi, biarkan siasatan mengenai produk sandwic ‘ham dan cheese’ dilakukan mengikut prosedur undang-undang.”

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, semua pihak perlu memberi ruang  proses siasatan dilakukan secara menyeluruh.

“Saya percaya kita kena biarkan ia berlangsung mengikut proses yang sepatutnya (mengikut undang-undang) termasuk mengenai siasatan.

“Penting untuk kita bagi ruang kepada siasatan ini berlangsung bukan hanya yang dilakukan oleh Jabatan Kimia tapi sisatan menyeluruh daripada pelbagai proses.

“Apapun komitmen kita di KPDN dan kerajaan adalah untuk memastikan siasatan dilaksanakan dengan telus dan adil,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perutusan Hala Tuju KPDN 2025 di sini, hari ini.

Menurut Armizan, platform terbaik untuk mengumumkan hasil siasatan kelak adalah menerusi tindakan undang-undang kelak.

“Jika ada kes, pendakwaan akan disebut apa sabitannya (kalau ada) kerana ada kes tertentu bila dibawa ke mahkamah ada isu teknikal,” ujarnya.

Terdahulu, Armizan berkata, beliau belum menerima keputusan sampel produk sandwic ‘ham dan cheese’ daripada Jabatan Kimia.

Beliau juga berpendirian bahawa tiada keperluan keputusan itu diserahkan kepadanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, keputusan mengenai produk itu akan diumumkan oleh KPDN.

Sepatutnya keputusan sampel produk makanan yang menjadi kontroversi itu diketahui hari ini.

Minggu lalu, media melaporkan sampel produk sandwic ‘ham dan cheese’ yang didapati menyalah guna logo halal, telah dihantar ke makmal untuk dianalisa, bagi mendapatkan laporan status ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Ujian itu dibuat bertujuan mengesan sama ada terdapat DNA babi dalam produk makanan berkenaan atau sebaliknya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here