Nga Kor Ming (Tengah) bercakap kepada media selepas Majlis Perasmian Pelancaran Program Kesiapsiagaan Musim Perayaan Tahun Baru Cina Tahun 2025, di Kuala Lumpur, hari ini

KUALA LUMPUR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bakal menerima tiga buah helikopter baharu jenis AgustaWestland AW139.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, aset baharu itu akan digunakan bagi memperhebatkan misi penyelamatan khususnya di kawasan-kawasan pedalaman dan kawasan yang mengalami kesukaran.

Menurutnya, perolehan aset berkenaan dijangka diterima pada tahun depan, namun pihaknya berharap ia dapat diperoleh lebih awal.

“Daripada segi perolehan aset, kerajaan amat menitik beratkan kesiapsiagaan pasukan bomba. Tahun ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan kira-kira RM220 juta untuk perolehan aset baharu.

“Kita harap (helikopter) boleh dapat tahun ini juga, tetapi ia bergantung kepada ‘manufacturer’ (pembuat). Perlu ikut jadual, tapi kita akan beri keutamaan kepada bomba,” katanya selepas Majlis Perasmian Pelancaran Program Kesiapsiagaan Musim Perayaan Tahun Baru Cina Tahun 2025, di sini, hari ini.

Menurut Kor Ming, helikopter AgustaWestland AW139 dipilih berdasarkan keupayaan dan kecekapan yang dimilikinya.

Dalam pada itu, Nga berkata, cuti kira-kira 12,000 pegawai dan anggota JBPM dibekukan sebagai persiapan menghadapi Sambutan Tahun Baharu Cina dan Monsun Timur Laut pada hujung bulan ini.

Katanya, ia merupakan 70 peratus daripada jumlah keseluruhan anggota di seluruh negara.

Kira-kira 10,000 hingga 12,000 anggota akan bersiap sedia. Hanya 30 peratus daripada keanggotaan pegawai bomba diberikan pelepasan untuk bercuti secara penggiliran.

“Ia bagi memastikan kekuatan keanggotaan mencukupi bagi menghadapi sebarang insiden sepanjang tempoh itu,” katanya.

Tambah beliau, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui JBPM turut memberi fokus kepada lima aspek utama sebagai persediaan menghadapi insiden kecemasan, iaitu pendidikan, penguatkuasaan, pencegahan, pemantauan berterusan, dan kolaborasi strategik.

“Ia penting bagi meminimumkan risiko keselamatan seperti kebakaran, kemalangan air, dan kemalangan jalan raya yang lazim berlaku setiap kali musim perayaan,” jelasnya .- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here