KOTA BHARU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ditemukan lemas di dalam sungai di di Kampung Mujur, Jelawat, Bachok, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bachok Supt Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, Muhammad Bashir Mohd Arman dipercayai terjatuh ke dalam sungai itu ketika memancing bersama abangnya kira-kira pukul 9 pagi.
“Ketika sedang memancing mangsa tergelincir ke dalam sungai dan cuba dibantu oleh abangnya namun gagal.
“Bapa mangsa, Mohd Arman Remli, 39, yang mengetahui kejadian tersebut kemudiannya terus menghubungi pihak bomba untuk tindakan seterusnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi mencari yang dijalankan oleh pihak bomba dan polis telah menemukan mangsa kira-kira pukul 1 tengah hari di lokasi kanak-kanak itu terjatuh.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Bachok. Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk bedah siasat dan kes setakat ini diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya. – BERNAMA