KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mengumumkan moratorium terhadap klausa-klausa zalim yang ada dalam undang-undang berkaitan kebebasan media dan kebebasan bersuara yang dikatakan hendak dipinda.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, perkara itu terutamanya bagi klausa-klausa zalim dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Komunikasi dan Multimedia serta Akta Hasutan.
Secara logiknya kata beliau, jika kerajaan sudah tahu klausa mana yang hendak dipinda, ia bermaksud kerajaan sendiri sudah sedar bahawa klausa-klausa itu tidak baik.
“Maka jika ia sudah diketahui tidak baik, kerajaan perlu berhenti menggunakannya untuk menyekat kebebasan bersuara dan kebebasan media di Malaysia.
“Kerajaan mesti umumkan moratorium sekarang, sehinggalah semua klausa yang berkaitan dipinda atau dimansuhkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa, kerajaan kini suka menyalahkan kerajaan terdahulu untuk lari dari tanggungjawab hari ini.
“Dalam hal ini, kerajaan jangan berhelah lagi dengan menyalahkan orang lain. Jika mahu buat, buat lah. Jangan bagi pelbagai alasan,” katanya.
Terdahulu Wan Saiful memaklumkan, beliau hari ini merasmikan pelancaran “Media Law Reform Blueprint” yang dihasilkan oleh Centre for Law and Democracy.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyeru supaya kerjasama lebih erat dibina antara kerajaan, masyarakat sivil, organisasi media dan pembangkang dalam mereformasi undang-undang dan peraturan berkaitan media di Malaysia. – MalaysiaGazette