JOHOR BAHRU – Polis Johor menahan pasangan suami isteri yang juga pemilik syarikat Hejira Travel & Tours Holding Sdn Bhd, yang disyaki terbabit dalam penipuan umrah.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, pasangan tersebut ditangkap kelmarin, selepas dibebaskan dengan jaminan oleh Polis Kontinjen Selangor selepas tamat tempoh reman di negeri itu.
“Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan kes penipuan pakej umrah yang dilaporkan di kontinjen Johor.
“Setakat ini sebanyak sembilan laporan polis telah diterima yang melibatkan kerugian berjumlah RM174,080,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dan dengan sebatan serta denda.
Jelasnya, pasangan tersebut sudah dibebaskan dengan jaminan polis dan kertas siasatan membabitkan mereka akan dilengkapkan dalam masa terdekat sebelum dirujuk kepada pihak timbalan pendakwa raya (TPR) untuk tindakan lanjut.
Pihak polis katanya, menyeru dan menasihatkan orang ramai untuk membuat semakan dengan agensi berkaitan sebelum menggunakan mana-mana syarikat pengendali umrah bagi memastikan syarikat berkenaan berlesen dan mempunyai rekod pengendalian yang baik.
Terdahulu, portal ini melaporkan polis telah menahan Pengarah Urusan syarikat itu, Mohd Syahril Alias yang didakwa gagal menerbangkan lebih 300 jemaah umrah ke tanah suci.
Tangkapan dibuat pada pukul 6.45 petang oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kormersil (JSJK) Selangor di Ibu Pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) susulan laporan polis dibuat oleh jemaah.
Suspek dilaporkan ditahan direman selama tiga hari di Selangor bermula Khamis lalu dan tamat tempoh kelmarin.
Sebelum ini, Mohd Syahril Alias membuat permohonan maaf secara terbuka dan menawarkan Surat Aku Janji mengatakan sedia membayar kerugian yang ditanggung jemaah. – MalaysiaGazette