Fahmi Zainol

KUALA LUMPUR – Seorang pemimpin PKR menggesa Ketua UMNO bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah memohon maaf secara terbuka kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkaitan titah adendum.

Ahli Majlis Pimpinan PKR, Fahmi Zainol berkata, dakwaan yang dibuat veteran UMNO itu merupakan satu tuduhan berat kepada Anwar.

“Tambahan pula isu adendum ini sudah diperjelaskan dengan cukup sempurna oleh Perdana Menteri.

“UMNO Gua Musang perlu menjadi lebih peka dalam mengikuti perkembangan yang mutakhir sebelum melontarkan pertuduhan yang berat seperti kali ini,” katanya yang juga ADUN Pantai Jerejak.

Beliau berkata, perdana menteri pada 11 Januari lalu sudah menerangkan dengan jelas dan terperinci mengenai kronologi yang membawa kepada titah adendum yang membolehkan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

“Penjelasan perdana menteri sekali gus menoktahkan segala tohmahan serta dakwaan melampau mengenai kebijaksaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, institusi beraja serta integriti badan kehakiman negara.

“Namun dalam kenyataan terbaru Ketua UMNO Gua Musang dengan jelas menyebut ‘kesalahan menyembunyikan fakta dan dokumen penting kerajaan, selain dengan sengaja menghalang keadilan’ yang merupakan satu tuduhan berat kerana tiada isu menyembunyikan fakta mahupun apa-apa dokumen penting kerajaan,” katanya

Tengku Razaleigh semalam mendesak Anwar supaya bertanggungjawab kerana didakwa menyembunyikan Titah Adendum tahanan rumah yang dikurniakan Yang di-Pertuan Agong kepada Najib.

Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu berkata, tindakan tersebut secara tidak langsung menghalang proses keadilan terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

Perbuatan itu juga dakwanya turut mengkhianati prinsip terus terang yang sepatutnya dijunjung kerajaan.

“Tindakan Anwar yang tidak konsisten dengan jawapan-jawapan sebelum ini jelas menampakkan wujudnya kelemahan ketara bagi seorang Perdana Menteri.

Justeru, Tengku Razaleigh yang juga veteran UMNO itu menggesa Anwar untuk bertanggungjawab sepenuhnya atas segala kemelut yang berlaku. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Apa bendanya jawapan yg betul Fahmi oooooiii…selama 1 tahun DS NAJIB tanya…Titah Adendum ada kaa? atau tak ada??? Kalau ada kata ada..kalau tak ada, kata tak ada! Soalan simple jaa…bukan tanya Totah tu sah atau tidak sah! Sampai mahkamah tinggi kata Titah Adendum tu hearsay…sampai Istana Pahang kena keluarkan kenyataan bahwa Titah Adendum wujud dan sahih..Baru PM nak mengaku??..Padahal mmg jelas PM dan Peguam Negara tahu Titah Adendum wujud!!!

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here