GAZA CITY – Lebih 550 trak bantuan kemanusiaan memasuki Semenanjung Gaza melalui lintasan Rafah pada Ahad, hari pertama pelaksanaan perjanjian gencatan senjata.
“Sejak pagi Ahad, 552 trak bantuan kemanusiaan memasuki Gaza melalui lintasan, termasuk 242 trak untuk bahagian utara Gaza,” kata sumber Kementerian Dalam Negeri Gaza kepada Agensi Anadolu (AA).
Sumber itu menjelaskan bahawa penghantaran termasuk bahan api, bekalan perubatan, makanan, serta sayur-sayuran dan buah-buahan.
Beliau turut mengesahkan bahawa usaha sedang dijalankan untuk memudahkan kemasukan lebih banyak bantuan bagi memenuhi keperluan penduduk Gaza.
Dalam laporan berasingan, Saluran Berita Al-Qahera melaporkan bahawa 330 trak bantuan termasuk 20 trak bahan api, telah memasuki Gaza melalui lintasan yang dikawal Israel di Al-Auja dan Kerem Shalom (selatan).
Perjanjian gencatan senjata Gaza mula berkuat kuasa pada 11.15 pagi waktu tempatan (0915GMT) Ahad selepas kelewatan beberapa jam akibat tuduhan Israel terhadap Hamas yang dikatakan melambatkan senarai tawanan yang akan dibebaskan.
Ia pada mulanya dijadualkan bermula pada 8.30 pagi waktu tempatan.
Sejak 7 Okt 2023, hampir 47,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terbunuh dan lebih 110,700 lagi cedera dalam serangan Israel di Gaza, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan. – Bernama-AA