Logo halal JAKIM.

PASIR SALAK – Halal Development Corporation Bhd (HDC) memaklumkan lebih 70 peratus daripada pemegang pensijilan halal di Malaysia didominasi syarikat bukan bumiputera.

Pengerusi HDC Khairul Azwan Harun berkata, perkara itu tidak seharusnya dipandang sebagai masalah memandangkan permohonan yang dibuat syarikat berkenaan menepati piawaian ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Secara tradisinya, syarikat bukan bumiputera memang mendominasi sektor pembuatan makanan ini, namun ia bukan satu masalah kerana mereka mematuhi standard ditetapkan oleh JAKIM.

“Untuk makluman, permohonan pensijilan halal penuh hanya boleh dibuat selepas sesebuah syarikat itu mendapat pengiktirafan daripada Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), Pensijilan Good Manufacturing Practise (GMP) dan Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Multaqa Pegawai Masjid peringkat Parlimen Pasir Salak di Dewan Kampung Pulau Gajah di sini hari ini.

Pada 16 Jan lepas, Ketua Pegawai Eksekutif HDC Hairol Ariffein Sahari memaklumkan, setakat ini hanya 9,162 syarikat dalam pelbagai segmen yang mendapat pengiktirafan pensijilan halal dari pihak JAKIM.

Mengulas lanjut perkara berkenaan, Hairol Ariffein berkata daripada jumlah itu, hanya 1,600 merupakan pengeksport halal yang disifatkan sebagai angka masih rendah berbanding permintaan pasaran halal global yang kini melebihi US$3 trilion.

Sementara itu, Khairul Azwan berkata pihaknya akan melipatgandakan usaha bagi membantu syarikat bumiputera yang berpotensi untuk mendapatkan pensijilan sama, sekali gus meluaskan pasaran produk mereka ke peringkat antarabangsa.

“Pihak HDC sendiri akan bantu perkasa dan mengupayakan syarikat-syarikat tempatan untuk memohon pensijilan halal ini melalui pelbagai kaedah yang bersesuaian,” katanya. — BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here