BUTTERWORTH – Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai memandu kereta melawan arus sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Chain Ferry, di sini, pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, pihak polis menerima maklumat daripada orang awam jam 2.15 petang berhubung kemalangan tersebut pada hari kejadian.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila kereta Mitsubishi Lancer dipandu suspek di Jalan Chain Ferry tiba-tiba memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah pacuan empat serta tiga kenderaan lain dekat situ.
“Impak kejadian itu menyebabkan dua mangsa cedera yang mana salah seorang kini masih menerima rawatan di sebuah hospital swasta namun dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut Anuar berkata, susulan itu, polis menahan lelaki berusia 28 tahun itu, jam 4 petang semalam bagi membantu siasatan.
“Hasil ujian air kencing ke atas suspek mendapati negatif dadah dan permohonan tahanan reman terhadapnya akan dibuat bagi menjalani ujian darah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Terdahulu tular di media sosial video memaparkan kemalangan membabitkan sebuah kereta yang memandu melawan arus sebelum melanggar beberapa kenderaan lain di Jalan Chain Ferry di sini. – MalaysiaGazette