KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini menerima kunjungan hormat Menteri Pertahanan Indonesia, Sjafrie Sjamsoeddin dan delegasi di Wisma Pertahanan.
Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam kenyataan memaklumkan, kunjungan hormat itu merupakan bukti komitmen yang tidak berbelah bahagi antara kedua-dua negara dalam memupuk kerjasama kukuh demi keamanan dan kestabilan serantau.
Menurut kenyataan itu, pertemuan berkenaan turut mencerminkan hubungan erat yang telah terjalin antara Malaysia dan Indonesia melalui hubungan diplomatik serta kerjasama pertahanan kedua-dua negara.
“Semasa pertemuan, kedua-dua menteri telah bertukar pandangan, terutamanya berkaitan dengan perspektif pertahanan dan keselamatan serantau.
“Turut dibincangkan mengenai Kepengerusian ASEAN 2025 dan Jawatankuasa Sempadan Am Malaysia-Indonesia Ke-44 (GBC MALINDO Ke-44) yang dijadualkan berlangsung di Malaysia dalam tahun ini dalam menangani cabaran keselamatan serantau secara kolektif,” katanya.
Selain itu katanya, Mohamed Khaled turut menzahirkan jemputan rasmi kepada Indonesia untuk menyertai Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025, sekali gus mengulangi dedikasi kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan pertahanan melalui pelaksanaan inisiatif di peringkat dua hala dan pelbagai hala.
Terdahulu, sesi kunjungan hormat dimulakan dengan Pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama (KKU) daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat), berkekuatan tiga pegawai dan 109 anggota yang diketuai oleh Mejar Muhmmad Akmal Hakim Sabarudin.
Mohamed Khaled turut mengucapkan tahniah kepada TYT Sjafrie Sjamsoeddin atas pelantikannya sebagai Menteri Pertahanan Indonesia dan menyatakan keyakinan terhadap kemakmuran berterusan Indonesia di bawah kepimpinan Presiden Prabowo Subianto. – MalaysiaGazette