Bahrin bertemu orang ramai dalam Program Kesedaran dan Keselamatan Semasa Sambutan Tahun Baharu Cina di sebuah pasar raya di bandar Kluang, hari ini.

KLUANG – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang di Kahang, di sini, sejak empat hari lalu dihentikan selepas tiada petunjuk baharu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, operasi itu dihentikan pada pukul 6 petang semalam selepas gagal menemui mangsa walaupun hampir keseluruhan kawasan yang dikatakan tempat kehilangan Lee Siew Hat, 73, sudah dicari.

Menurutnya, operasi yang diketuai oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Superintenden Nik Mohd Azmi Husin dan sertai 65 pegawai dan anggota dijalankan bermula Khamis lalu namun tidak menemui sebarang petunjuk kehadiran mangsa di lokasi dilaporkan hilang.

“Pelbagai usaha sudah dilakukan oleh pasukan penyelamat yang terdiri daripada anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam dengan kerjasama pasukan sahabat terdiri daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat Kluang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kluang serta Bomba Sukarela Kahang.

“Namun semua teknik pencarian termasuk menggunakan khidmat anjing pengesan tetap tidak membuahkan hasil,” katanya.

Bahrin berkata demikian kepada pemberita selepas Program Kesedaran dan Keselamatan Semasa Sambutan Tahun Baharu Cina di sebuah pasar raya di bandar ini, hari ini.

Beliau berkata, walaupun operasi SAR dihentikan, usaha pencarian akan dijalankan sekiranya terdapat maklumat baharu berkaitan mangsa diterima selain dipantau secara berkala oleh anggota Balai Polis Kahang.

Mengulas berkaitan program anjuran Persatuan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kluang serta Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia itu, Bahrin berkata, ini bertujuan untuk memberikan peringatan secara bersemuka kepada masyarakat setempat berkaitan langkah-langkah yang perlu dilakukan sepanjang musim perayaan ketika meninggalkan rumah untuk bercuti.

Ujarnya, ia juga bertujuan menerangkan langkah-langkah yang perlu dilakukan ketika keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini bagi membolehkan orang ramai bersedia berpindah sekiranya diarahkan.

“Kami juga secara tidak langsung mendengar sendiri aduan orang ramai berkaitan sebarang masalah melibatkan keselamatan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here