GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyokong inisiatif Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk memperkenalkan beras campuran yang menggabungkan beras tempatan dan beras import sebagai langkah penyelesaian terhadap keperluan para pesawah di negeri ini.
Ini susulan tunjuk perasaan oleh kumpulan pesawah di negeri ini semalam yang menuntut harga lantai belian padi dinaikan ke RM1,800 untuk satu tan metrik.
Exco Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol menyatakan bahawa harga RM26 untuk kampit 10kg beras yang ditetapkan pada tahun 2008 perlu disemak semula kerana kos pengeluaran semakin meningkat.
Beliau menegaskan, kajian yang lebih mendalam perlu dilakukan serta alternatif lain perlu dicari bagi memastikan ia tidak membebankan pesawah dan rakyat.
“Dalam pada masa yang sama, bahang mengenai ketidakpuasan hati dengan harga jualan padi yang dibangkitkan oleh para pesawah perlu diambil perhatian.
“Perkara ini telah mendapat perhatian Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dengan mencadangkan akan mewujudkan beras campuran di antara beras tempatan dan beras import sebagai solusi kepada kehendak para petani di Pulau Pinang.
“Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyokong penuh cadangan Menteri untuk mengkaji jualan beras campuran tempatan dan import seterusnya membentangkan kepada Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Tambah Fahmi, pihaknya menyokong penuh usaha KPKM untuk menangani isu berkaitan padi dan beras demi memastikan kestabilan pengeluaran makanan negara. – MalaysiaGazette