KUALA LUMPUR – Kalangan institusi tempatan kekal sebagai pembeli bersih di Bursa Malaysia bagi minggu ke-13 berturut-turut dengan pembelian sebanyak RM797.8 juta, demikian menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF).
Dalam Laporan Aliran Dana bagi tempoh berakhir pada 17 Jan, MIDF berkata institusi tempatan meneruskan momentum belian bersih mereka bagi 41 hari dagangan berturut-turut.
“Peruncit tempatan juga kekal sebagai pembeli bersih bagi dua minggu berturut-turut dengan menyumbang aliran masuk bersih sebanyak RM530.8 juta yang juga satu angka kukuh,” katanya.
Pada masa sama, pelabur asing meneruskan aliran jualan yang juga aliran keluar bersih bagi minggu ke-13 berturut-turut yang berjumlah RM1.33 bilion — aliran keluar minggu kedua tertinggi sejak April 2024.
MIDF berkata aliran keluar itu merangkumi setiap hari dagangan dengan yang terbesar pada Isnin iaitu RM328.2 juta manakala hari lain RM212.2 juta hingga RM325.5 juta.
“Satu-satunya sektor yang mencatat aliran masuk bersih asing adalah amanah pelaburan hartanah (REIT) yang berjumlah RM1.0 juta.
“Sementara itu, tiga sektor utama yang mencatat aliran keluar bersih terbesar adalah pembinaan (RM313.0 juta), hartanah (RM156.9 juta) dan pengguna (RM127.1 juta),” katanya.
Menurut MIDF, aktiviti dagangan yang susut melibatkan dua daripada tiga kategori dengan purata jumlah dagangan harian (ADTV) meningkat sebanyak 13.7 peratus bagi pelabur asing, 4.5 peratus untuk institusi tempatan dan 7.5 peratus bagi pelabur runcit. – BERNAMA