KUALA LUMPUR – Nasib pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Intan Juliana yang tinggal berhimpit bersama keluarga dalam ruang kedai di sebuah hentian rehat dan rawat (RNR) Gerik, Perak ditawarkan rumah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS).
Menurut Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajid Dusuki, permohonan bagi pembinaan rumah telah diluluskan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Alhamdulillah dengan keprihatinan Datuk Seri, permohonan ini telah diluluskan dan lawatan tapak pembinaan rumah Program Perumahan Rakyat Sejahtera akan diadakan dalam masa terdekat.
“Semoga usaha kecil ini mampu membawa sinar harapan dan perubahan besar kepada kehidupan keluarga adik Intan. Saya percaya, setiap anak Malaysia berhak mendapat peluang untuk hidup dalam keadaan yang lebih baik, terutama demi pendidikan dan masa depan mereka,” katanya.
Tambah Asyraf Wajdi, nasib Intan Juliana sekeluarga turut mendapat perhatian Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMK, Prof Dr Mohammad Ismail.
Pihak UMK bersedia membiayai yuran pengajian Intan Juliana sehingga tamat pengajian serta memberikan sebuah komputer riba kepada pelajar terbabit apabila kembali ke kampus.
Menurut Asyraf Wajdi, sebelum ini Intan Juliana menghubungi beliau menceritakan masalah yang dihadapi mereka sekeluarga yang terpaksa tinggal di kedai sejak November lalu.
Dalam mesej kepadanya, Intan Juliana dengan penuh rasa harapan memberitahu bahawa mereka sekeluarga menghadapi pelbagai kesukaran terutama dia dan anaknya yang sedang belajar kerana terpaksa tinggal dalam kedai RNR.
“Ruang yang sempit dan keadaan tidak selesa menyukarkan mereka untuk mengulang kaji pelajaran. Lebih memilukan, mereka terpaksa bergantung kepada tandas awam untuk keperluan harian.
“Apa yang lebih menyentuh hati saya ialah keberanian adik Intan untuk menghubungi saya tanpa pengetahuan ibu bapanya
“Dia berkata dia tidak mahu membebankan mereka, tetapi pada masa sama dia nekad mencari jalan untuk membantu keluarganya. Anak sekecil ini dengan berani meminta sedikit perhatian dan bantuan agar keluarganya dapat keluar dari situasi yang penuh dugaan ini,” kata Asyraf Wajdi.
Setiausaha Agung UMNO dalam perkongsian di media sosial turut meluangkan masa mengunjungi Intan Juliana dan keluarganya di kedai. – MalaysiaGazette