KUANTAN – Seorang pengembala lembu orang kelainan upaya (OKU) lembam yang dilaporkan hilang sejak Rabu lepas ditemukan kira-kira 2.2 kilometer daripada rumahnya di Kampung Ulu Atok, Sega, Raub semalam.
Menurut kenyataan Polis Daerah Raub, mangsa Zulkifli Ramli, 44 ditemukan pada pukul 3.30 petang oleh pasukan penyelamat dalam keadaan lemah dengan luka-luka kecil pada badan serta berkaki ayam.
Mangsa dibawa ke Hospital Lipis untuk menerima rawatan lanjut, katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, satu laporan dibuat di Balai Polis Dong selepas mangsa dikatakan tidak pulang ke rumahnya pada 16 Januari.
“Lelaki itu kali terakhir dilihat pada 15 Januari pada pukul 10 pagi ketika sedang mengeluarkan lembu daripada kandang untuk meragut rumput di kawasan ladang sawit berhampiran rumahnya,” katanya.
Justeru, satu operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah digerakkan dengan penglibatan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Raub, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Raub, dengan bantuan Unit Anjing Pengesan K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur serta Unit Anjing Pengesan PDRM. – MalaysiaGazette