KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal ditahan kerana melanggar lampu isyarat merah lalu merempuh sebuah kereta di simpang empat, Jalan Meru Tambahan, Klang, Selangor.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, penahanan dibuat selepas pihaknya mengesan video kejadian berdurasi 22 saat menerusi laman Facebook hari ini.
“Siasatan mendapati, kemalangan berlaku sekitar jam 2.15 petang semalam, apabila warga tempatan itu menunggang motosikal jenis Modenas Kriss telah melanggar lampu isyarat sebelum merempuh sebuah kereta yang datang dari arah Bukit Kapar.
“Akibat kejadian itu, penunggang motosikal terbabit tercampak ke atas cermin besar dan terjatuh di atas jalan. Mangsa kemudian telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, susulan itu satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Siti Nursiah Mohd Nor di talian 018-286 5951,” ujarnya. – MalaysiaGazette