KUALA LUMPUR – Eksport dan import kembali meningkat kepada paras tertinggi baharu pada 2024, dengan perdagangan berjumlah RM2.88 trillion, naik 9.2 peratus tahun ke tahun, melepasi paras RM2 trilion selama empat tahun berturut-turut, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Dalam kenyataan mengenai prestasi perdagangan Malaysia pada 2024 hari ini, MITI berkata, eksport mencecah RM1 trilion bagi empat tahun berturut-turut, meningkat 5.7 peratus kepada RM1.51 trilion, melepasi 87.2 peratus daripada sasaran 2025 yang ditetapkan di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Import meningkat sebanyak 13.2 peratus tahun ke tahun kepada RM1.371 trilion, melepasi paras RM1 trilion bagi tiga tahun berturut-turut, menghasilkan lebihan dagangan RM136.88 bilion untuk tahun ke-27 berturut-turut sejak 1998.
Eksport ke rakan utama dagangan, iaitu ASEAN, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Taiwan meningkat dengan eksport ke AS serta Taiwan mencapai nilai tertinggi setakat ini.
Taiwan secara rasminya menjadi rakan dagangan keempat terbesar Malaysia, mencerminkan pengukuhan dalam hubungan dua hala dan peluang perdagangan yang semakin berkembang.
Selain itu, eksport ke pasaran Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) berkembang pada 2024, pulih daripada penyusutan pada 2023 terutama daripada Kanada, Turkiye dan Mexico.
“Eksport ke Kanada mencatatkan pertumbuhan, didorong oleh peningkatan permintaan bagi produk elektrik dan elektronik (E&E) manakala eksport ke Turkiye dan Mexico melonjak kepada paras tertinggi baharu, dipacu oleh peningkatan eksport produk besi dan keluli serta produk kimia dan bahan kimia,” katanya.
Pertumbuhan eksport turut direkodkan daripada Bangladesh, Costa Rica, Mesir, Nigeria, Angola, Ethiopia, Algeria, Togo, Libya dan khususnya Kenya, Oman serta Namibia yang mencatatkan nilai tertinggi baharu.
Eksport E&E, jentera, peralatan dan kelengkapan turut mencatatkan peningkatan lebih RM10 bilion pada 2024.
Sementara itu, MITI berkata perdagangan pada Disember 2024 mencatatkan kenaikan tahun ke tahun bagi 12 bulan berturut-turut dengan pertumbuhan dua digit sebanyak 14.6 peratus kepada RM257.86 bilion.
“Eksport mencatatkan peningkatan kukuh sebanyak 16.9 peratus kepada RM138.52 bilion manakala import meningkat 11.9 peratus kepada RM119.34 bilion.
“Susulan itu, lebihan dagangan sebanyak RM19.18 bilion berjaya direkodkan, yang ke-56 bulan berturut-turut sejak Mei 2020 dan nilai tertinggi direkodkan sejak Oktober 2023,” katanya.
Menurut MITI, perdagangan, eksport dan import mencatatkan nilai bulanan tertinggi pada Disember berbanding November 2024, dengan perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan, masing-masing melonjak sebanyak 8.5 peratus, 9.7 peratus, 7.3 peratus dan 27.4 peratus.
Katanya pada Disember 2024, eksport barangan perkilangan yang menyerap 84.6 peratus daripada jumlah eksport merekodkan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 18.5 peratus tahun ke tahun kepada RM117.21 bilion dengan peningkatan eksport direkodkan bagi produk E&E, barangan perkilangan logam serta jentera, peralatan dan kelengkapan.
Jumlah perdagangan bagi suku keempat 2024 meningkat 6.4 peratus kepada RM739.84 bilion berbanding suku keempat 2023.
Pada suku keempat 2024, eksport menaik sebanyak 7.3 peratus kepada RM392.97 bilion dan import meningkat 5.3 peratus kepada RM346.87 bilion.
“Perdagangan dan import mencatatkan nilai tertinggi bagi suku keempat setakat ini.
“Sementara itu, lebihan perdagangan meningkat 25 peratus kepada RM46.1 bilion. Berbanding suku ketiga 2024, eksport dan lebihan perdagangan meningkat 2.4 peratus dan 86.8 peratus manakala perdagangan dan import, masing-masing menurun 0.4 peratus dan 3.4 peratus,” katanya.
Pada 2025, MITI berkata perdagangan Malaysia dijangka berkembang selaras dengan unjuran yang diterbitkan oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang menganggarkan jumlah perdagangan barangan global meningkat sebanyak tiga peratus.
Sehubungan itu, Tinjauan Ekonomi 2025 oleh Kementerian Kewangan menyasarkan perdagangan Malaysia berkembang sebanyak empat peratus pada 2025 dengan eksport dan import, masing-masing akan mencatatkan pertumbuhan 3.9 peratus dan 4.1 peratus manakala Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dijangka meningkat antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus.
“Permintaan berterusan bagi produk E&E pada tahun ini akan disokong oleh trend peningkatan dalam sektor tersebut seiring dengan unjuran oleh Perangkaan Perdagangan Semikonduktor Dunia (WSTS) bahawa jualan semikonduktor global akan meningkat 11.2 peratus pada 2025,” katanya.
Walaupun berdepan dengan landskap ekonomi global yang mencabar, MITI dan agensi promosi perdagangannya, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) komited untuk mengukuhkan perdagangan antarabangsa sebagai asas bagi mengekalkan pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
“Ia akan disokong menerusi inisiatif strategik yang digariskan dalam RMK-12, Pelan Tindakan Perdagangan Nasional (NTBp) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030),” katanya. – BERNAMA