KUALA LUMPUR, 20 Januari – Malaysia berhadapan dengan jurang besar dalam penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, dengan lebih 300,000 graduan baharu memasuki pasaran kerja setiap tahun.
Bagaimanapun, sektor ekonomi hanya mampu menyediakan sekitar 50,000 peluang kerja dalam kategori tersebut.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong mengakui bahawa isu itu telah berlarutan selama beberapa dekad dan perlu diatasi segera.
“Setiap tahun, kita menyaksikan jumlah graduan yang jauh lebih besar berbanding peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang mampu diwujudkan oleh ekonomi kita.
“Ini jelas menunjukkan ketidakseimbangan dalam pasaran kerja yang perlu kita perbaiki,” katanya pada sidang media selepas menghadiri lawatan kerja bersama Gabungan Kesatuan Sekerja Badan Berkanun Diasingkan Saraan dan Bebas (GKSBBDSB).
Kerangka Ekonomi Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi tumpuan kepada langkah untuk menaikkan siling atau nilai ekonomi negara.
“Kita perlu meningkatkan produktiviti dan menggalakkan sektor perniagaan menghasilkan pekerjaan bernilai tinggi, supaya ekonomi tidak lagi terhad pada peluang kerja bernilai rendah
“Salah satu pendekatan utama ialah memperkasakan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang menyumbang hampir 38% kepada KDNK.
“Kerajaan percaya bahawa penggunaan teknologi tinggi dan inovasi dalam PKS boleh membantu meningkatkan produktiviti serta mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi,” tambahnya.
Steven berkata, jurang ini bukan sekadar masalah pasaran kerja tetapi melibatkan bagaimana struktur ekonomi dapat diatur semula untuk memastikan graduan mempunyai masa depan yang bermakna dan berkualiti. – MalaysiaGazette