Razali Idris

KUALA LUMPUR – Tindakan beberapa individu yang memukul dan mengheret seorang lelaki kelainan upaya (OKU) kategori mental di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai, Terengganu pada Jumaat lalu tidak boleh diterima.

Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, dalam apa jua keadaan, provokasi tidak boleh dijadikan alasan untuk bertindak kasar terhadap golongan itu.

“OKU adalah golongan yang memerlukan sokongan dan pemahaman. Mereka tidak seharusnya dilayan dengan kekerasan, walaupun dalam situasi yang menegangkan.

“Kita yang berupaya perlu memberi contoh yang baik dengan menghormati hak dan martabat OKU.

“Saya mengajak semua pihak untuk lebih memahami cabaran yang dihadapi golongan ini dan memberikan sokongan yang diperlukan,” katanya, hari ini.

Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berkata demikian mengulas insiden seorang OKU mental 47 tahun dipukul beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka kira-kira 9.30 pagi Jumaat lalu selepas motosikalnya terlanggar sebuah gerai jualan menyebabkan makanan terjatuh dan tumpah.

Mangsa dilaporkan cedera dipercayai dipukul dan disepak beberapa individu dipercayai peniaga serta pembeli di pasar tani itu.

Semalam, Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhammad Wan Ja’afar berkata, empat individu dipercayai terlibat dalam insiden pukul tersebut dengan tiga saksi awam juga telah dipanggil untuk diambil keterangan berhubung insiden tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here