Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bagi membela diri berhubung kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 2 DISEMBER 2024. (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Razak menafikan beliau mendesak, memberi tekanan atau mengarahkan firma audit antarabangsa, KPMG menutup akaun 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi tahun kewangan 2013.

Bekas Perdana Menteri memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, beliau juga tidak pernah menakut-nakutkan bekas rakan pengurusan KPMG, Datuk Johan Idris supaya menutup penyata audit 1MDB untuk tahun tersebut.

“Saya hanya mahu lihat penyelesaian, bukan mengarahkan firma profesional itu menutup akaun 1MDB.

“Jika saya arah sekalipun, KPMG yang merupakan juruaudit bebas dan mempunyai reputasi, tidak terikat untuk mematuhinya,” ujar beliau ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, T. Deepa Nair.

Najib, 71, membela diri terhadap empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Mahkamah sebelum ini diberitahu, pengurusan 1MDB akhirnya menamatkan perkhidmatan audit KPMG dan beralih kepada firma audit Deloitte, pada tahun 2014.

Terdahulu, Najib ditanya oleh Deepa Nair berhubung keterangan Johan yang mendakwa dia diugut supaya menutup akaun tersebut sebelum 31 Disember 2013.

Menurut pihak pendakwaan, pertemuan antara pegawai KPMG, termasuk Johan, pegawai 1MDB, dan Najib berlangsung di kediaman bekas Perdana Menteri di Langgak Duta di ibu negara pada 15 Disember 2013.

Najib turut memberi keterangan bahawa pasukan pengurusan 1MDB dan KPMG berselisih pendapat dalam mesyuarat tersebut mengenai dokumen berkaitan pelaburan luar negara 1MDB melalui Brazen Sky.

Pada perbicaraan lalu , juruaudit KPMG enggan menandatangani laporan kewangan itu kerana mereka gagal mendapatkan maklumat yang betul mengenai pelaburan AS$2.3 bilion dana kekayaan itu dalam Brazen Sky Ltd, sebuah syarikat yang diperbadankan di Kepulauan Virgin.

Pada prosiding hari ini, Najib menolak cadangan Deepa Nair bahawa beliau tidak mahu 1MDB berkongsi dokumen yang diminta oleh KPMG kerana dana tersebut didakwa digunakan untuk kepentingan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“KPMG kata ia perlukan dokumen tambahan, tetapi (pengurusan 1MDB) kata mereka (KPMG) minta macam-macam dokumen walhal apa yang mereka (KPMG) miliki sudah mencukupi.

“Oleh itu, terdapat perbezaan pendapat antara pengurusan (1MDB) dan KPMG, itu sahaja yang berlaku, tiada kaitan dengan pembiayaan (untuk UMNO dan BN),” kata bekas Perdana Menteri.

Pada perbicaraan lalu, Najib memberitahu, beliau tidak pernah menekan lembaga pengarah 1MDB untuk memecat KPMG sebagai juruaudit syarikat tersebut, sebaliknya keputusan menggantikan firma itu dibuat sendiri oleh lembaga.

Ujar bekas Perdana Menteri, beliau telah memberikan arahan yang jelas kepada 1MDB dan KPMG untuk mengambil langkah perlu bagi memuktamadkan akaun sebelum 31 Disember 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah di Istana Kehakiman, di sini bersambung esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here