Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir bagi mendengar perbicaraan kes penyelewengan dana 1 Development Malaysia Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 03 DISEMBER 2024 (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, Datuk Seri Najib Razak tidak pernah mempengaruhi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menerusi panggilan telefon untuk mengadakan usaha sama dengan Petrosaudi International (PSI).

Bekas Perdana Menteri menegaskan, panggilan telefon yang dibuat oleh Low Taek Jho atau Jho Low kepada beliau hanya berkisar mengenai inisiatif strategik di antara Malaysia dan Arab Saudi.

Ujar Najib, ahli perniagaan dalam buruan itu menghubunginya sewaktu mesyuarat lembaga pengarah 1MDB pada 29 September 2009 sebelum telefon diserahkan kepada Pengerusi 1MDB ketika itu, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh.

“Saya tidak mempengaruhi Tan Sri Bakke (melalui panggilan telefon), ia hanya menunjukkan usahasama yang dicadangkan antara 1MDB dan PSI yang mana ia inisiatif strategik (antara Malaysia dan Arab Saudi).

“Ahli lembaga pengarah tidak terpengaruh dengan panggilan telefon itu, Tan Sri Bakke mempengerusikan (mesyuarat) dan ahli lembaga lain tidak tahu mengenai panggilan tersebut,” ujar beliau.

Najib menyatakan demikian ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib sewaktu membela diri terhadap empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Beliau selanjutnya berkata, panggilan telefon oleh Jho Low tidak mempengaruhi keputusan lembaga pengarah untuk terlibat dalam usaha sama itu.

Ahmad Akram kemudian merujuk kepada kenyataan pembelaan Najib bahawa beliau selaku pemegang saham tunggal 1MDB, melalui Kementerian Kewangan Diperbadankan menyedari bahawa 1MDB mempunyai kira-kira RM4.3 bilion yang diperoleh daripada bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) untuk digunakan.

Menurut pihak pendakwaan, Najib mengetahui dengan jumlah sebanyak itu, Jho Low yang tidak memegang jawatan dalam 1MDB digalakkan membentangkan cadangan untuk dipertimbangkan oleh lembaga pengarah 1MDB.

Ahmad Akram selanjutnya mencadangkan, Najib mengetahui bahawa lembaga pengarah 1MDB akan membuat keputusan pada mesyuarat itu bagaimana wang akan digunakan dan beliau terus bercakap dengan Mohd. Bakke.

“Saya tidak bimbang tentang perbelanjaan. Saya hanya bimbang tentang usaha sama, ia (RM4.3 bilion) tidak ada dalam fikiran saya apabila saya bercakap dengan Tan Sri Mohd Bakke,” demikian kata Najib.

Ahmad Akram: Setuju dengan cadangan saya, Datuk Seri diminta oleh Jho Low untuk bercakap (dengan Tan Sri Bakke) dalam telefon mengenai penggunaan RM4.3 bilion itu. Ini jumlah yang besar Datuk Seri, sepatutnya ada tindakan lanjut?

Najib: Lembaga pengarah 1MDB profesional, saya tidak syak ia membawa apa-apa yang akan memudaratkan 1MDB atau kepentingan negara.

Dalam pernyataan saksi, Najib berkata Jho Low dijemput oleh pengurusan 1MDB membentangkan perspektif PSI, termasuk manfaat strategiknya, unjuran kewangan dan konteks diplomatik yang lebih luas daripada kerjasama dua hala.

Ujar beliau, Jho Low dijemput kerana Putera Turki (anak kepada mendiang pemerintah Saudi Raja Abdullah) yang asalnya dijadualkan hadir, tidak dapat berbuat demikian.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here