BATU PAHAT- Seorang wanita maut manakala lima lagi termasuk dua kanak-kanak cedera parah selepas terlibat kemalangan di Jalan Ayer Hitam-Kluang, dekat sini, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam, Penolong Penguasa Bomba, Shamin Mohamad Salikin berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada 10.14 malam berhampiran Taman Bahagia.
“Sebaik menerima maklumat kejadian, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Isyadi Dani bersama-sama enam anggota dan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) telah dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba di lokasi didapati benar kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza dan sebuah kereta Proton Saga BLM.
“Hasil pemeriksaan terdapat seorang wanita berusia 37 tahun yang duduk di bahagian penumpang belakang kereta Proton Saga BLM tersepit sebelum kerja-kerja mengeluarkan mangsa dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shamin berkata, mangsa bagaimana disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang datang membantu.
Ujarnya, mangsa yang cedera pula melibatkan pemandu MPV Toyota Avanza berusia 41 tahun dan empat lagi melibatkan pemandu dan penumpang kereta Proton Saga BLM iaitu dua kanak-kanak berusia tujuh dan 11 tahun, seorang wanita, 49, dan pemandunya iaitu warga Indonesia, 40-an.
“Mangsa yang meninggal dunia kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya manakala mangsa cedera diberikan rawatan awal sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail di sini,” katanya.- MalaysiaGazette