KUALA LUMPUR – Permohonan lima anggota keluarga penyerang Balai Polis Ulu Tiram, Johor yang mahu prosiding dibicarakan bersama ditolak Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan menolak selepas menimbangkan semua hujahan pendakwaan dan pembelaan.
Kata beliau, perbicaraan bersama kelima-lima kes pertuduhan boleh memprejudiskan responden terlibat.
Sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P. Kunyalam memohon semua kes dihadapi oleh kelima-lima tertuduh dibicarakan bersama kerana pertuduhan kesalahan berhubung kait antara satu sama lain.
Namun, peguam bela yang mewakili semua anggota keluarga itu, Faizal Rahman membantah sambil menegaskan perbicaraan tidak adil untuk beberapa responden untuk mendengar kesemua enam pertuduhan yang tidak berkaitan dengan anak guamnya.
Lima anggota keluarga penyerang ini ialah bapa penyerang, Radin Imran Radin Mohd Yassin; ibunya, Rosna Jantan, dan tiga adik-beradiknya, Radin Romyullah Radin Imran, Farhah Sobrina Radin Imran dan Mariah Radin Imran.
Hakim menetapkan 13 Februari hadapan untuk pengurusan kes bagi kesemua kes itu.
Radin Imran berdepan empat pertuduhan, termasuk mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574), iaitu menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam fahaman ideologi keganasan yang berkait kumpulan Daesh.
Dia juga dituduh memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas dengan menyimpan empat senjata api jenis senapang angin buatan sendiri untuk menjalankan aktiviti kumpulan pengganas Daesh dan didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(b) akta sama.
Radin Imran dan anak sulungnya, Radin Romyullah turut dituduh mengikut Seksyen 130J(1)(a) kanun sama, memberi sokongan kepada Daesh dengan cara berbaiah kepada pemimpin kumpulan pengganas itu, Abu Bakar Al-Baghdadi.
Bagi tuduhan kempat, dia didakwa memiliki buku bertajuk Hakikat Islam & Hakikat Syirik oleh Abu Sulaiman Aman Abdurrahman yang berkait kumpulan Daeshdan didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a).
Radin Romyullah yang juga suspek kedua juga didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a), memiliki cakera keras yang mengandungi bahan berkaitan kumpulan Daesh dan perlakuan pengganas.
Rosna, Farhah Sobrina dan Mariah pula dituduh sengaja tidak memberikan apa-apa maklumat berkait kesalahan dilakukan membabitkan Seksyen 130J(1)(a) serta Seksyen 130G(a) dan didakwa mengikut Seksyen 130M kanun sama.
Dalam kejadian tragis pada 17 Mei lalu, dua anggota polis maut manakala seorang lagi parah selepas ditembak dan ditetak seorang seorang yang bertindak menceroboh masuk Balai Polis Ulu Tiram.
Mangsa yang ditembak dikenal pasti sebagai Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, manakala anggota yang ditetak pula ialah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar. – MalaysiaGazette
Permohonan bicara bersama 5 ahli keluarga penyerang Balai Polis Ulu Tiram 20 Januari 2025