KUALA LUMPUR – Syarat indeks jisim badan (BMI) kurang daripada 28 bagi anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk melayakkan kenaikan pangkat akan dibincangkan secara terperinci tahun depan, sejajar dengan pendekatan yang diamalkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, perkara tersebut akan dirundingkan bersama Ketua Pengarah JBPM sebagai usaha meningkatkan kesiapsiagaan fizikal anggota bomba.
“Anggota JBPM tidak dibenarkan memiliki BMI melebihi 30 untuk kenaikan pangkat.
“Ini adalah dasar yang telah ditetapkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Sebab itu saya nasihatkan anggota JBPM perlu pastikan badan sihat minda cergas. Pastikan setiap hari berlari lima kilometer (KM).
“Syarat (BMI kurang daripada 30) ini dikenakan untuk semua pangkat. Ada lagi ruang boleh diperbaiki, setakat ini terkawal,”.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Perasmian Pelancaran Program Kesiapsiagaan Musim Perayaan Tahun Baru Cina Tahun 2025, di sini, hari ini.
Semalam, Menteri Dalam Negeri berkata, pegawai dan anggota PDRM diwajibkan memenuhi syarat memiliki BMI kurang daripada 28 sebagai salah satu kriteria untuk melayakkan diri bagi kenaikan pangkat.
Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, BMI menjadi antara syarat itu kerana sebagai pasukan penguasa undang-undang terbesar, kecergasan dan disiplin adalah menjadi satu keutamaan polis di samping kepakaran profesional lain.- MalaysiaGazette
kan mmg pamer imej abam sado setiap kali perbarisan hari kebangsaan, jadi kenalah buktikan semua abam sado…