KUALA LUMPUR – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang mengesahkan lima beranak yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu telah selamat ditemui dan pulang ke pangkuan keluarga, semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pasangan suami isteri dan tiga anaknya selamat pulang ke rumah miliknya kira-kira jam 11.50 malam semalam.
“Pengadu telah memaklumkan kepada pihak polis bahawa kakaknya bersama keluarga telah pulang ke rumah dalam keadaan selamat.
“Pihak polis ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang membantu sehingga mangsa ditemui semula,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan lima sekeluarga yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu ditemui dalam keadaan selamat dan pulang ke kediamannya di Bukit Tinggi, Klang, kira-kira jam 11 malam semalam.
Bapanya, Amir Hamzah Nordin yang mengesahkan perkara itu berkata, Anis Huda Amir Hamzah, 37; suaminya, Nik Muhammad Ersyad Afifi Tajuddin, 37 serta tiga anak berusia lima, lapan dan 10 tahun berada dalam keadaan baik.
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan lima beranak selepas kali terakhir mereka dilihat pada malam Jumaat lalu.
Menurut laporan, kesemua mereka telah keluar dari sebuah rumah di Persiaran Rimba Permai, Sepang dengan menaiki kenderaan jenis Perodua Alza WWT 8248 berwarna kelabu pada 11.30 malam, 17 Januari. – MalaysiaGazette
Lima beranak selamat pulang ke pangkuan keluarga – Amir Hamzah