KUALA TERENGGANU, 20 Jan (Bernama) — Pasukan Terengganu FC (TFC) telah melupakan episod kekalahan besar di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia Jumaat lepas.
Sebaliknya, Ketua Jurulatih skuad Penyu, Badrul Afzan Razali berkata, pasukan Pantai Timur yang berpengkalan di Kuala Nerus sedang giat membuat persiapan untuk berdepan kelab Indonesia, PSM Makassar bagi saingan ASEAN Club Champion (ACC) Piala Shopee 2024/25 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) dekat Gong Badak, Rabu nanti.
Pengendali berusia 48 tahun itu berkata, anak buahnya telah bangkit daripada kekecewaan dan bersedia sepenuhnya untuk menyempurnakan misi wajib menang di laman sendiri.
“Alhamdulillah, pemain cukup positif dan sedia bangkit dalam perlawanan seterusnya. PSM Makassar adalah antara pasukan terbaik di liga Indonesia ketika ini. Kita tidak boleh sesekali ambil mudah dalam membuat persiapan.
“Kita juga tidak boleh tewas dalam baki perlawanan peringkat kumpulan jika mahu layak ke peringkat seterusnya,” katanya dalam kenyataan di laman sosial Facebook rasmi TFC hari ini.
Dalam pada itu, Badrul Afzan berkata anak buahnya juga semakin bersemangat dengan kembalinya kapten pasukan Muhammad Safawi Rasid dan juga Muhammad Azam Azmi Murad yang telah pulih daripada kecederaan buku lali.
Beliau berkata kehadiran dua pemain itu membolehkan TFC kembali dengan pasukan terkuat bagi memastikan kemenangan di laman sendiri, sekali gus menebus kekecewaan lebih 11,000 penyokong yang hadir di SSMZA pada perlawanan lepas.
“Saya sentiasa ingatkan, terutama pemain muda, supaya berfikiran matang dan mempamerkan mentaliti terbaik kerana kita bersaing di peringkat ASEAN.
“Insya-Allah Rabu ini kita akan tampil dengan semangat berbeza dan persembahan terbaik sebagai hadiah peminat pasukan hitam putih,” katanya.
TFC yang diundi dalam Kumpulan A bersama kelab PSM Makassar (Indonesia); Dong A Thanh Hoa FC (Vietnam); BG Pathum United (Thailand); Svay Rieng FC (Kemboja) dan Shan United FC (Myanmar) kini menduduki tangga keempat dengan kutipan empat mata daripada tiga perlawanan. – BERNAMA