GEORGE TOWN – Keseronokan sekumpulan wanita warga asing yang dipercayai gadis pelayan pelanggan (GRO) melayan pelanggan di sebuah pusat hiburan di pusat bandar sini, kelmarin terbantut selepas premis tersebut diserbu Jabatan Imigresen Pulau Pinang.
Serbuan tersebut membawa kepada tangkapan 17 wanita warga asing berusia 20 hingga 40-an yang didapati melanggar Akta Imigresen 1959/63.
Rata-rata yang ditahan mendakwa datang ke pusat hiburan itu atas jemputan rakan namun siasatan awal pasukan serbuan mendapati kebanyakan wanita itu bekerja di pusat hiburan tersebut secara tetap dan sambilan.
Ketika serbuan, seorang wanita warga Vietnam, mendakwa dia mampu meraih tips mencecah ribuan ringgit dalam tempoh dua minggu daripada pelanggan di pusat hiburan tersebut.
Wanita berusia 20-an itu yang memasuki negara secara haram melalui jalan hutan di sempadan utara tanah air itu turut mendakwa rakan sekerjanya yang telah lama berkecimpung dengan kegiatan tidak bermoral itu mampu meraih tip berjumlah enam angka setiap bulan.
Selain itu, menerusi operasi berasingan di Bukit Mertajam, seramai 18 GRO warga asing diberkas bagi membantu siasatan melanggar Akta Imigresen 1959/63.
Sementara itu, Pengarah JIM Pulau Pinang, Nur Zulfa Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan 35 wanita warga asing itu.
“Kesemua wanita warga asing itu dibawa ke Depot Imigresen di Juru bagi membantu siasatan lanjut.
“JIM Pulau Pinang akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan membanteras aktiviti menyalahi undang-undang membabitkan warga asing,” katanya. – MalaysiaGazette