KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) menggariskan tiga perkara yang tidak boleh dibincangkan bagi menyokong perintah larangan bersuara (gag order) berkaitan isu titah adendum melibatkan Datuk Seri Najib Razak.
Perkara pertama melibatkan semua pernyataan, komen atau perbincangan yang meragui, mempersoal, mencabar atau menghina kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong (YDPA) di bawah Perlembagaan Persekutuan dalam pemberian pengampunan.
Larangan tersebut turut melibatkan spekulasi yang boleh menjejaskan kredibiliti, keabsahan atau integriti keputusan, fungsi dan kuasa Lembaga Pengampunan.
Ia juga termasuk kenyataan atau penerbitan yang bersifat kritikan, penghinaan dan/atau sindiran terhadap kedudukan, peranan dan kuasa institusi raja sebagai salah satu cabang utama dalam struktur Perlembagaan Persekutuan.
Ketiga-tiga perkara itu terkandung dalam notis usul yang dikemukakan oleh AGC bagi memohon perintah larangan bersuara untuk menghalang isu berkaitan titah adendum dibincangkan oleh mana-mana pihak.
Timbalan Ketua Bahagian Sivil AGC yang juga Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan memberitahu pihak media, notis usul permohonan itu difailkan melalui e-Filing di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.
Permohonan larangan bersuara itu dikemukakan dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh bekas Perdana Menteri untuk mencabar kewujudan titah adendum.
Dalam permohonan itu, AGC menamakan media massa, individu, organisasi dan pihak ketiga sebagai pihak-pihak yang dilarang membincangkan isu berkenaan.
Mereka dilarang menerbit, menyiar, mengedar atau menyebabkan penerbitan, penyiaran dan pengedaran dalam apa-apa bentuk komunikasi secara cetak, elektronik, digital atau platform media sosial.
Selain larangan bersuara, AGC turut memohon perintah mahkamah bahawa mana-mana pihak yang melanggar larangan bersuara, boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah.
Jabatan tersebut turut memohon perintah perlindungan diberikan kepada responden melibatkan semua dokumen sulit dan material yang dikemukakan sebagai eksibit dalam pendengaran semakan kehakiman tersebut.
AGC juga memohon perintah bahawa dokumen-dokumen sulit itu dihalang daripada didedahkan, dirumuskan, dijelaskan atau disampaikan secara langsung atau tidak langsung kecuali kepada mahkamah dan pihak-pihak yang terlibat dalam semakan kehakiman itu.
“Pihak-pihak yang diberi akses kepada dokumen sulit itu hendaklah menjaga kerahsiaan butiran dan maklumat yang terkandung dan tidak mendedahkannya.
“Semua terma dan syarat perintah ini mengikat dan terus berkuat kuasa walaupun selepas pelupusan tindakan ini, selagi mana dokumen-dokumen tersebut kekal sulit dan rahsia,” demikian menurut notis usul yang diperoleh pihak media, semalam.
Dalam semakan kehakiman itu, Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa tujuh pihak selaku responden menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang dikatakan diperkenan oleh YDPA ke-16.
Ia bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Pihak terbabit ialah Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM, dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh. – MalaysiaGazette