LONDON – Pemain sayap Manchester United, Antony akan meninggalkan pasukan dan menyertai kelab La Liga, Real Betis secara pinjaman sehingga penghujung musim 2024/2025.
Menurut pakar perpindahan, Fabrizio Romano, pemain kelahiran Brazil itu akan menjalani ujian perubatan dalam masa terdekat dan tiada klausa pembelian dalam kontrak pinjaman yang ditandatangani oleh kedua-dua kelab.
Ia akan membolehkan Antony kembali ke pangkuan United pada Jun nanti selepas tempoh pinjamannya bersama kelab Sepanyol itu tamat.
Bagaimanapun United masih lagi perlu membayar sebahagian besar gaji Anthony yang mencecah nilai €240,000 seminggu untuk baki saingan musim ini.
Bekas pemain Ajax Amsterdam itu dilihat gagal untuk menyesuaikan diri dengan saingan Liga Perdana ditambah dengan tuduhan yang mengatakan beliau melakukan kekerasan terhadap pasangannya pada 2023 menambah lagi mimpi ngeri Antony di England.
Real Betis ketika ini menduduki tangga ke-12 dan dibimbing oleh bekas pengurus Manchester City iaitu Manuel Pellegrini.
Betis turut diperkuatkan oleh beberapa pemain yang pernah beraksi bersama skuad kebangsaan Sepanyol dan Argentina seperti Isco, Hector Bellerin, Giovani Lo Celso, Marc Batra dan William Carvalho.
Sejak berada di bawah bimbingan Ruben Amorim, United dilihat mahu menyingkirkan pemain yang dianggap tidak menampilkan prestasi yang baik dan memulakan langkah dengan Antony.
Seorang lagi pemain yang dijangka meninggalkan pasukan ialah Marcus Rashford yang mana beberapa kelab dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain itu. – Agensi